Janji manifesto PH hingga 31 Dis. 2018 : Kerajaan PH berjaya laksana 52.38 %

AYER KEROH 23 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka telah membuktikan keupayaannya menunaikan tawaran yang ditawarkan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Kejayaan tersebut dengan melaksanakan 44 dari 84 tawaran atau 52.38 peratus sehingga 31 Disember lalu.
Malah, kata Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PH Melaka PRU-14, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, dalam masa 100 hari pemerintahan kerajaan PH Melaka diketuai Ketua Menteri, Adly Zahari telahpun mengumumkan 31 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Beliau yakin, kerajaan PH Melaka mampu selesaikan 100 % tawaran ini menjelang lima tahun pemerintahannya nanti.
Katanya, jika dalam masa tujuh bulan pun kerajaan PH Melaka dapat melaksanakan 52 peratus tawaran, beliau yakin hasrat untuk memastikan 100 peratus tawaran ini, InsyaAllah akan tercapai.
Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam merangkap Naib Pengerusi PH Melaka berkata, memang ada di antara tawaran itu memerlukan masa kerana ianya melibatkan bajet dan penggubalan enakmen serta undang-undang baharu.
“Malah, ada juga tawaran berhubung kait dengan kerajaan Pusat dan manifesto PH Pusat serta tohmahan dan tuduhan mengatakan PH hanya menabur janji-janji kosong pada PRU-14 lalu meleset khususnya dalam konteks pentadbiran kerajaan PH negeri ini.
“Pihak yang membuat tuduhan tersebut sama ada berniat jahat atau langsung tidak membuat kajian terperinci kepada tawaran yang PH Melaka bentangkan kepada rakyat semasa kempen PRU-14 lalu,” tegasnya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Melaka berharap rakyat sepatutnya tidak termakan dengan tohmahan dan tuduhan pembangkang dan pihak-pihak yang sengaja ingin mengelirukan rakyat dan cuba memburuk-burukkan imej kerajaan negeri.
Justeru itu, ujarnya, rakyat dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber yang benar dan sahih supaya mereka tidak dikeliru dan ditipu oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kepada pihak yang membuat tuduhan dan tohmahan, beliau harap mereka insaf dan berpolitiklah secara matang dan profesional supaya rakyat tidak memandang rendah kepada mereka.
“Kita mahukan pembangkang yang matang dan mampu mengakui fakta serta kebenaran bukannya pembangkang yang hanya menggunakan emosi untuk kepentingan survival politik mereka semata-mata,” tegasnya.