JaPen terus usaha edar maklumat sahih
Dapatkan maklumat yang sahih daripada pihak yang berkredibiliti...

MASJID TANAH 7 Feb – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mendekati rakyat secara terus sekali gus menyebarluaskan maklumat yang tepat dan sahih.
Antara kaedah terbaharu dilaksanakan ialah ‘Info on Wheels’ dengan mengedarkan risalah dan maklumat mengenai isu-isu semasa di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar, pusat beli belah, sekolah dan premis perniagaan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman berkata, langkah itu sangat tepat supaya orang ramai menerima maklumat yang sahih.
“Diharap usaha ini berterusan supaya masyarakat dapat pengetahuan yang sebenar daripada agensi kerajaan dan tidak hanya mempercayai maklumat daripada alam maya,” katanya.
Amran berkata demikian selepas Program Info on Wheels dan mengedarkan risalah mengenai Novel Coronavirus (2019-nCOV), Peka B40 dan Belanjawan 2020 kepada pengunjung di Pasar Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi dan Masjid Tanah, baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid.