Japerun Ayer Limau buka cawangan kedua

AYER LIMAU 18 Mac – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Ayer Limau akan membuka cawangannya yang kedua di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman Paya Rumput, bersebelahan Kolej Komuniti Masjid Tanah.
Penyelarasnya, Datuk Seri Ruslin Hasan berkata, langkah itu dibuat bagi memudahkan masyarakat kawasan terbabit membuat aduan atau memohon bantuan.
Katanya, dengan pembukaan cawangan Japerun kedua di kolej itu, ia akan membuka ruang kepada masyarakat sekitar melaporkan apa jua aktiviti kepada pihak Japerun yang sebelum ini terpaksa berjalan lebih 15 kilometer (km) semata-mata untuk mengadu atau membuat permohonan.
“Akan ada beberapa kakitangan yang akan ditempatkan di pejabat itu, tak perlu ramai-ramai.
“Pembukaan cawangan japerun kedua itu dibuat bagi mendekati rakyat dari segi perkhidmatan yang kita tawarkan,” katanya kepada MelakaKini ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, inisiatif itu pernah dilakukannya semasa berkhidmat di sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Semasa saya berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, sebanyak 11 cawangan Japerun telah saya bukakan, jadi perkara ini antara pembaharuan yang saya buat di Ayer Limau bagi memudahkan rakyat mendapatkan khidmat Japerun,” katanya.