Japerun, DUN berhak menilai prestasi MPKK – Adly

AYER KEROH 15 Feb. – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri berhak membuat keputusan ke atas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia bertujuan untuk memastikan pihak pengurusan berkenaan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurutnya, terdapat sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah MPKK bagi menguruskan pelantikan dan pemecatan, malah prosesnya itu adalah sama seperti sebelum ini.
“Jika MPKK mempunyai masalah salah laku, kerajaan akan membuat keputusan sama ada melucutkan atau melantik berdasarkan laporan yang diterima dari mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Wacana Ilmu di Auditorium Seri Negeri di sini, pagi tadi.
Mengulas lanjut mengenai isu pergantungan MPKK DUN Gadek, Adly berkata, isu berkenaan sama sekali tidak dikaitkan dengan isu keagamaan.
“Isu pelantikan MPKK di DUN itu memang berlarutan dari tahun lalu, kerana ia melibatkan prestasi kredibiliti mereka.
“Bagaimanapun, perjawatan MPKK tetap akan dinilai dalam masa setahun dan dalam tempoh itu juga
boleh berlaku penamatan mahupun pelantikan baharu.
“Kita harap MPPKK perlu berintegriti dalam melaksanakan tugas terbaik demi memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.