Jejak Juara bantu hala tuju pelajar lepas SPM

Jejak Juara bantu hala tuju pelajar lepas SPM

PAYA RUMPUT 19 Feb. – Program Jejak Juara memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Inisiatif itu dilaksanakan Kolej Komuniti yang menyasarkan pelajar tingkat tiga, empat dan lima yang dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Alias berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ia khusus untuk melanjutkan pengajian di kolej komuniti sama ada di Melaka atau Negeri Sembilan.

“Adanya program ini, diharap masalah keciciran pelajar selepas SPM dapat ditangani kerana kerajaan menyediakan laluan untuk memastikan lepasan SPM mempunyai tempat untuk melanjutkan pengajian,” katanya pada program tersebut.

Katanya, setiap pelajar adalah aset penting di negara ini kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan.

“Peranan institusi seperti kolej komuniti adalah memberi pendedahan dan membimbing pelajar supaya menjadi tenaga mahir teknikal dalam bidang utama ekonomi negara,” katanya.

Antara aktiviti diadakan seperti taklimat hala tuju selepas SPM dan bidang-bidang yang ditawarkan di kolej komuniti, pameran pendidikan dari 11 Kolej Komuniti Melaka dan Negeri Sembilan, demonstrasi solekan, dan dandanan rambut.

11 kolej yang menyertai program itu bersama SMK Paya Rumput ialah Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM), KK Selandar, KK Masjid Tanah, KK Jasin, KK Kota Melaka, KK Tangga Batu, KK Jempol, KK Jelebu, KK Tampin, KK Rembau dan KK Kuala Pilah.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan yang dikelolakan bersama SMK Paya Rumput.

CATEGORIES