Jejantas siap, rakyat lega

Terbaikkk....memang memudahkan urusan rakyat. Terima kasih!...

Jejantas siap, rakyat lega

SETAHUN kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka mungkin satu tempoh yang belum matang jika ingin dinilai oleh rakyat.

Namun, dalam tempoh itu pelbagai insiatif, usaha, pendekatan dan pencapaian progresif telah dan akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Mungkin pada mata kasar ia masih belum memuaskan hati segelintir pihak tetapi perlu ada sifat positif dan sabar dalam menilai sesuatu perkara.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat Melaka, Kerajaan PH tidak pernah terlepas pandang bagi menyalur dan menyampaikan khidmat kepada rakyat negeri ini.

Ia termasuk dari segi kebajikan, ekonomi, pelaburan, perumahan, pelancongan, kemudahan awam, pembangunan usahawan, pendidikan dan kesihatan.

Antara kemudahan itu termasuk menyiapkan projek terbengkalai oleh kerajaan terdahulu iaitu dua ‘flyover’ di persimpangan MITC dan Peringgit.

 

JEJANTAS MULA BEROPERASI MAC 2019

Dua projek pembinaan jejantas yang disiapkan awal Mac lalu berjaya menyuraikan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Dalam laporan MelakaKini (MK) Mac lalu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, proses menyiapkan pembinaan jejantas di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dan Peringgit berjalan lancar dan akan memulakan operasinya pada bulan tersebut.

“Kesesakan lalu lintas di pintu masuk Ayer Keroh banyak bergantung dengan flyover di MITC, apabila siap kita akan lihat jalan raya yang lebih panjang.

“Dari pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh hingga ke Ayer Keroh, baru ada lampu isyarat, ini memudahkan orang ramai, sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sebelum ini katanya, pengunjung perlu menempuh kesesakan bermula di hadapan Zoo Melaka dan Night Safari.

 

JIMAT MASA 20 MINIT

Rakyat negeri ini dapat menjimatkan masa perjalanan 20 minit melalui Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka di dua persimpangan Peringgit dan MITC.

Ia sekali gus memberi kemudahan kepada pelancong dan rakyat negeri ini khususnya pada waktu puncak atau hujung minggu.

“Dengan adanya dua ‘flyover’ di persimpangan itu, ia memberi impak besar kepada Melaka kerana ia pintu utama masuk ke negeri ini.

“Dua persimpangan ini adalah laluan utama yang sering menjadi rungutan pengguna jalan raya terutama pada musim cuti dan waktu puncak,” kata Adly.

 

BERI KELEGAAN BUAT PENGGUNA

Beberapa pengguna jalan raya menyatakan kelegaan apabila jejantas yang sekian lama dinantikan mereka sejak lapan tahun lalu siap sepenuhnya.

Mereka kagum apabila jejantas itu dapat disiapkan dalam tempoh setahun di bawah pentadbiran PH walaupun pembinaannya dirancang kerajaan terdahulu sejak 2011.

Seorang pengguna, Rozer Masudin, 31, berkata, dua jejantas tersebut bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini, malah menambah bilangan kedatangan pelancong ke Melaka.

“Selain memberi manfaat kepada rakyat, ia bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri menambah kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

“Saya lihat dengan adanya jejantas ini, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan setelah lama rakyat menunggu projek ini siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Seorang peniaga, Noor Asmah Mohd. Said, 55, berkata, kemudahan jejantas itu amat bermanfaat kepadanya ketika ingin membeli barangan di pasar raya.

“Saya dapat jimatkan masa untuk beli barang niaga, biasanya hujung minggu jalan raya lebih sesak, namun sekarang dapat kurangkan masa.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan keselesaan kepada pengguna terutama pada musim cuti termasuk hujung minggu,” katanya.

 

RANCANG BINA JEJANTAS BAHARU

Bagi melancarkan lagi trafik di Melaka, kerajaan negeri merancang membina lebih banyak jejantas di kawasan yang sering berlaku kesesakan.

Bagi tujuan itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, beberapa permohonan baharu telah dikemukakan kepada kerajaan pusat.

Bagaimanapun proses atau kelulusan itu akan mengambil sedikit masa bergantung keputusan Kerajaan Pusat.

Itu antara inisiatif kerajaan PH selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini termasuk menyambung semula kerja-kerja menyiapkan pembinaan dua ‘flyover’ tersebut dengan pemantauan rapi bagi memastikan ia siap mengikut jadual yang diberikan.

“Alhamdulillah kita dapat siapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan kita lihat dengan siapnya kedua-dua flyover ini kita dapat jimatkan masa perjalanan dari Tol Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka,” katanya.

CATEGORIES
TAGS