Jelajah Melaka beri informasi kerajaan pada rakyat – Adly
Rakyat perlu bersabar....

BUKIT KATIL 3 Mac – Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan Program Jelajah Selamatkan Melaka bagi menyampaikan maklumat yang telah dilaksanakan parti itu di negeri ini.
Bekas Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, program jelajah itu bagi membuktikan bahawa kerajaan PH adalah kerajaan yang dibina berdasarkan mandat yang diberikan rakyat.
“Sudah pasti rakyat mahu tahu apa yang berlaku pada kerajaan ini, kita melalui PH akan jelajah seluruh Negeri Melaka untuk memberitahu rakyat apa yang telah kita lakukan dan kenapa kita tidak dapat meneruskan pentadbiran di peringkat kerajaan.
“Bagaimanapun, antara keputusan yang kita buat adalah pertama memperkukuhkan lagi PH di peringkat negeri bersama PKR dan DAP.
“Pada masa sama, kita ambil ketetapan semua rakan-rakan kita dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mempunyai semangat Pakatan Harapan supaya mereka bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di Graha Amanah, hari ini.
Tegasnya, PH juga akan mengkolaborasikan semula peranannya kerana masih mempunyai wakil-wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Parlimen di peringkat Dewan Rakyat.
“Kita akan perkemaskan semula peranan kita untuk berikan khidmat kepada rakyat.
“Paling penting kita akan terus berusaha untuk memastikan bahawa mandat rakyat ini akhirnya dikembalikan kepada mereka.
“Dan seterusnya terpulang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan bagi menentukan masa depan kerajaan ini,” katanya lagi.
Ujarnya, pihaknya bagaimanapun akan memberikan kerjasama kepada pentadbiran kerajaan kerana urusan pentadbiran itu harus berlaku seperti biasa dan ia adalah tanggungjawab bersama.
“Semangat kerajaan tetap saya ambil kerana kita juga memimpin kerajaan dan kalau boleh kita mahu lakukan proses peralihan kuasa itu mengikut perlembagaan dan undang-undang,” katanya.