Jenama semula RTC & Mini RTC – Rina

Jenama semula RTC & Mini RTC – Rina

AYER KEROH 11 Okt. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjenamakan semula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Mini RTC sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).

Menterinya, Rina Mohd Harun berkata, usaha itu bermula bulan ini, sekali gus mengekalkan peranan sedia ada PKD serta beberapa penambahbaikan baharu.

Menurutnya, setakat ini terdapat sebanyak 196 Mini RTC dan lima RTC yang akan dijenamakan semula bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“RTC adalah lokasi atau hub bagi pelaksanaan program Desa Digital, pusat aktiviti program pemerkasaan wanita.

“Selain pusat pengumpulan dan pengedaran Pos Malaysia bagi penduduk setempat dan menempatkan usahawan tempatan supaya dapat memasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjung hormatnya di Seri Negeri hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Adly Zahari dan para kenamaan.

Jelas Rina, KPLB juga perkenalkan Geran Pembangunan Fizikal maksimum bernilai RM10,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Geran ini bagi kesejahteraan, keceriaan kampung dan aktiviti serta program ekonomi di kampung.

“Dengan adanya geran ini, kampung-kampung diuruskan oleh MPKK di Negeri Melaka juga berpeluang memohon geran ini,” katanya.

CATEGORIES