Jepun berharapkan pemulihan dasar Pandang Ke Timur

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Jepun berharapkan kepada pemulihan dasar Pandang Ke Timur oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata dasar itu meluas, kerana ia bukan sahaja mencakupi kerjasama dalam perindustrian tetapi juga pendidikan dan keselamatan.
“Kami amat berharapkannya. Kami amat berbesar hati menerima kedatangan Dr Mahathir di Tokyo minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin di Ilham Tower, di sini, hari ini.
Apabila ditanya tentang agenda Dr Mahathir di Jepun itu, Miyagawa berkata setakat ini, tidak ada sebarang perkara khusus.
“Saya rasa kedua-dua perdana menteri akan membincangkan perkara-perkara umum mengenai kerjasama baharu. Kami menantikan lawatan pertama perdana menteri anda ke luar negara,” katanya.
Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan oleh Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri keempat pada era 1980-an dan selepas kembali menjadi perdana menteri beliau menyatakan mahu menghidupkan semula dasar itu.
Dr Mahathir akan berangkat ke Jepun pada Ahad ini di mana beliau akan berucap pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia di Jepun, yang diadakan pada 11-12 Jun.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tan Sri Abu Talib Othman yang mengetuai jawatankuasa CEP menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata sebaik sahaja siasatan selesai, mereka akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Peguam Negara perlu menelitinya. Siasatan sedang dijalankan,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut tentang hasil siasatan itu setakat ini.
— BERNAMA