Jerebu: Henti aktiviti luar kelas jika IPU semakin teruk

Jerebu: Henti aktiviti luar kelas jika IPU semakin teruk

AYER KEROH 19 Mac – Sekolah- sekolah di negeri ini diminta menghentikan aktiviti luar kelas yang melibatkan pelajar, jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras rekod bacaan tidak sihat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, arahan itu dikeluarkan berdasarkan pengumuman terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung rekod bacaan jerebu yang dilihat semakin meningkat dari masa ke semasa.

Katanya, bagi kawasan mencecah IPU melebihi rekod bacaan 101-200, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan luar kelas serta menggesa pihak berkaitan menutup sementara operasi institusi pendidikan.

“Pihak sekolah diingatkan perlu untuk menutup sementara sekolah jika IPU melebihi 200 di kawasan atau daerah terbabit.

https://t.me/melakakinidotmy

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS dan semua agensi terlibat sudah bersiap siaga bagi memastikan keadaan udara lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 103 di Alor Gajah dan 112 di Bukit Rambai, manakala di Bandaraya Melaka 93 setakat jam 3 petang tadi.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengambil langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan ketika menghadapi musim kemarau ketika ini.

“Kurangkan aktiviti luar, banyakkan minum air masak dan elakkan pembakaran terbuka kerana tahap pencemaran udara di Melaka semakin teruk, ketika ini,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa atau mendapatkan maklumat cuaca terkini.

CATEGORIES