Jersi putih MU undang pelbagai reaksi penyokong

TINDAKAN Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menukar warna jersi utamanya musim ini kepada warna putih mengundang pelbagai reaksi dari para penyokong.
Berdasarkan rekod sejak 2004 (dahulu MUSA dikenali sebagai MAFA), Adly Zahari merupakan Presiden MUSA keempat yang mengambil pendekatan diluar kebiasaan dengan menukar warna jersi utama Melaka United (MU).
Ia bermula dengan warna kuning ketika zaman Ibrahim Durun (2005/2006), Tan Sri Mohd Ali Rustam (2006/2007) dan warna putih merah, biru dan merah ketika zaman Karim Yaacob (2007-2010).
Menurut Adly, warna putih yang dipilih sebagai warna utama musim ini melambangkan kesucian dan kebenaran dengan moto kerajaan negeri iaitu ‘Pintar, Hijau, Bersih’.
“Warna putih menggambarkan semangat dan cita-cita baharu kita untuk bangunkan bola sepak negeri Melaka.
“Tidak rugi dalam bola sepak walaupun kita berbelanja besar kerana apa yang kita belanjakan ini adalah untuk perpaduan dan itu yang lebih penting,” katanya.
Bagaimanapun, berdasar tinjauan di laman sosial, kebanyakkan warganet meluahkan rasa tidak puas hati, termasuk ada yang merancang membuat undian atas talian supaya MUSA melakukan pusingan ‘U’.
Namun, terdapat juga yang menyokong inisiatif dilakukan Adly musim ini selaku Presiden baru musim 2019. Perkara itu dalam diam turut disedari Adly.
Jelasnya, warna berkenaan telah dipilih dan dipersetujui pihak pengurusan.
“Kita di peringkat MUSA telah memutuskannya, walaupun warna putih telah dipilih, tetapi warna hijaunya masih ada.
“Termasuk jersi ‘away’ yang kita telah putuskan sebagai warna hijau,”, katanya.
Ditaja syarikat pengeluar barangan sukan dari Thailand musim ini, Warrix, MU memperkenalkan tiga variasi warna jersi iaitu, jersi berwarna putih berjalur hijau, jersi hijau dan jersi berwarna kuning.