“Jika tak batal, mengapa tak bina dan keluarkan tender” – Mohd Sofi
Amat menghairankan apabila tak batal tapi tak diteruskan projek itu....

AYER KEROH 18 Feb – “Jika tak batal mengapa tak bina dan tak keluarkan tender,” tegas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.
Kenyataan itu bagi membidas status Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir. Idris Haron yang dimuat naik di laman sosial rasmi Facebooknya yang seolah-olah menyalahkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca kepada masalah air yang melanda Melaka ketika ini.
Dalam kenyataannya di laman Facebook, Idris mendakwa kerajaan terdahulu tidak pernah membatalkan projek berkenaan selepas cadangan dikemukakan untuk membina empangan berkenaan.
Dalam laporan MelakaKini baru-baru ini, Mohd Sofi menegaskan Kerajaan Melaka di bawah pentadbiran PH tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu membabitkan masalah air yang melanda Melaka sejak akhir-akhir ini.
Katanya, rakyat perlu faham masalah yang berlaku ketika ini bertitik tolak daripada pembatalan Empangan Sungai Jerneh dari pentadbiran kerajaan terdahulu.
Menurutnya, fakta sebenar berhubung pembatalan projek empangan yang sepatutnya menjadi jalan penyelesaian masalah air di negeri ini telah dilakukan Jemaah Menteri pada 26 Mei 2017, iaitu kira-kira setahun sebelum PH memerintah.
“Sepatutnya Datuk Seri (Idris) bertanya pada dirinys sendiri kerana sebagai (bekas) ketua menteri dia lebih tahu kenapa empangan tersebut tidak dibina kerana kita hairan kalau dia mengakui kerajaan negeri membatalkan empangan tersebut, mengapa empangan itu tidak dibina malah tender tidak dikeluarkan semasa pemerintahan beliau sebagai ketua menteri.
“Jadi soalan itu tidak ditanyakan dan mengelirukan kerana telah jelas bahawa beberapa kali beliau telah membuat kenyataan akhbar Empangan Jerneh mesti dibina atau siap pada 2018. Jika tidak Melaka berhadapan dengan krisis pada 2020. Sekarang kerajaan negeri berhadapan dengan masalah air.
“Jika kerajaan dahulu telah membina empangan tersebut sudah tentu kita tidak berhadapan dengan masalah air sekarang. Tidak perlulah beliau memutar belitkan fakta. Jawapan itu ada pada diri beliau sendiri. Rakyat sepatutnya melihat dan menilai fakta sebenar dan tidak terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan putar belit pihak pembangkang,” katanya kepada MelakaKini ketika dihubungi hari ini.
Apabila kerajaan PH mula memerintah, Kerajaan PH telah mengemukakan semula permohonan meneruskan projek tersebut.
Pada 31 Oktober 2018, Kerajaan Persekutuan meluluskan projek itu iaitu hanya lima bulan selepas kerajaan sekarang mentadbir negeri.
Daripada tarikh itu, Kerajaan PH berjaya menyelesaikan urusan pembelian 187 lot tanah terlibat yang dianggarkan bernilai hampir RM73 juta.
Kerajaan negeri bagaimanapun kini sudah mempunyai reka bentuk dan pada fasa akhir untuk memulakan projek empangan tersebut apabila tendernya dimuktamadkan tahun ini.
Untuk rekod, Projek Empangan Sungai Jerneh yang menelan belanja hampir RM200 juta itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan daripada tarikh ia dimuktamadkan.