JKM permudah urusan masyarakat

ASAHAN 27 Feb. – Program One-Stop Help Centre Kawan peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jasin menjadi medium bagi memudahkan masyarakat menguruskan urusan dengan pihak terbabit.
Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, inisiatif dilaksanakan itu bertujuan membantu masyarakat luar bandar khususnya mendapatkan perkhidmatan terbaik dari JKM.
Menurutnya, program berbentuk pendampingan sosial itu juga mendekatkan JKM dengan golongan memerlukan.
“Hari ini kita buka pelbagai kunter perkhidmatan di sini termasuk bagi unit kanak-kanak, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), unit kaunseling dan psikologi / keluarga, unit komuniti, pendaftaran sukarelawan, unit penguatkuasaan dan perundangan serta unit kebajikan produktif.
“Ia merupakan pendekatan terbaik boleh dilakukan JKM bagi meringankan masalah penduduk di sini untuk ke Jasin menyelesaikan masalah mereka berkaitan JKM,” katanya pada program tersebut di Balai Raya Asahan, di sini.
Jelas Burhanuddin, program selama empat jam itu berjaya mendapat penyertaan lebh 150 penduduk sekitar Asahan.
“Pendekatan secara ‘outreach’ ini juga memberikan pelbagai manfaat kepada pihak JKM di mana kita dapat melihat sendiri permasalahan masyarakat terlibat.
“Saya yakin usaha ini perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya golongan sasaran tidak terpinggir dan terus diberikan pembelaan,” katanya.