JTDL sasar jualan RM6 juta

JTDL sasar jualan RM6 juta

MELAKA 10 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM6 juta pada tahun ini melalui program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL).

Pengarah Kanan Urusniaga Segar FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata, peningkatan hasil jualan itu disasarkan berdasarkan nilai jualan yang diperoleh pada tahun lalu iaitu kira- kira RM5.27 juta.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai nilai jualan itu pelbagai inisiatif dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai individu membabitkan diri dalam sektor pertanian khususnya generasi muda.

“Untuk tahun ini FAMA menyasarkan nilai jualan RM6 juta dengan kira- kira 600 peserta yang terbabit mengambil bahagian memasarkan produk mereka.

“Melalui JTDL ini secara tidak langsung kita membantu usahawan memasarkan produk mereka di lokasi strategik di pasaraya,” katanya.

Terdahulu Majlis Perasmian Program JTDL Negeri Melaka 2020 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu di Pasaraya Aeon Bandaraya itu, dirasmikan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan.

Mengulas lanjut, Mohd Anis berkata, menerusi kerajaan FAMA bersama agensi dan jabatan kewangan menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu golongan yang berminat.

“Antaranya menerusi Agrobank dengan menyediakan pembiayaan mikro bernilai RM100 juta kepada usahawan berpendapatan rendah yang ditawarkan oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS),” katanya.

CATEGORIES