“Jumpa saya di HBR jika masalah gagal diselesaikan” – KM

Terima kasih atas kesungguhan YB KM

“Jumpa saya di HBR jika masalah gagal diselesaikan” – KM

BUKIT BARU 20 Jan. – Rakyat Melaka yang menghadapi masalah yang gagal diselesaikan oleh agensi yang berkaitan, diminta menemui Ketua Menteri pada sesi Hari Bertemu Rakyat (HBR) pada setiap Khamis.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau akan cuba membantu sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat yang terlibat.

“Kalau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tak boleh nak selesaikan masalah, ahli majlis pun tak boleh nak selesaikan masalah dan pegawai-pegawai kerajaan pun tak boleh menyelesaikan juga masalah itu.

“Kalau semua ‘level’ itu tak boleh (selesaikan masalah), tuan-tuan datanglah berjumpa saya pada setiap Khamis untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika berucap sebelum menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di Balai Raya Rumah Pangsa Bukit Piatu di sini baru-baru ini.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, beliau mungkin mempunyai cara bagi membantu menyelesaikan masalah yang gagal ditangani oleh pihak-pihak yang berkaitan sebelum ini.

“Kalau saya tak boleh selesaikan masalah, orang yang bawa masalah itu saya selesaikan,” katanya secara berjenaka sambil disambut tawa para penduduk yang hadir.

Menurut Adly, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk berjumpa dengan rakyat pada setiap minggu melalui HBR bagi membantu mengatasi segala permasalahan mereka.

“Saya yakin tiada masalah yang tak boleh kita selesaikan, cuma ia kadang-kadang mengambil sedikit masa (untuk diselesaikan),” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memimpin Melaka sambil menegaskan kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negeri ini.

CATEGORIES
TAGS