Kadet bomba dedah pelajar cegah kebakaran

Kadet bomba dedah pelajar cegah kebakaran

AYER KEROH 14 Mac – Penubuhan pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat bermatlamat untuk memastikan kesinambungan program membudayakan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah di peringkat menengah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohamad Zin Salleh berkata, sehingga kini, seramai 3,678 keahlian didaftarkan menerusi 51 pasukan yang melibatkan 43 Sekolah Menengah Kebangsan (SMK), tiga Sekolah Menengah Agama (SMA), dua Kolej Vokasional dan tiga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menurutnya, melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan menerusi kokurikulum pembelajaran di luar bilik darjah, ia dijadikan sebagai medium untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai langkah- langkah mencegah dan mengelak punca kebakaran.

“Pasukan itu (Kadet Bomba) hanya dilaksanakan di peringkat sekolah dan setakat ini hampir keseluruhan sekolah menengah di negeri ini terlibat dalam program tersebut.

“Bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan ahli pasukan, JBPM telah mengatur aktiviti tahunan di peringkat kebangsaan yang mana ia dilihat dapat membantu usaha mengembangkan pengetahuan kebombaan, selain dapat membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kesan dari program ini juga mampu melahirkan satu generasi yang sentiasa mengamalkan hidup berbudaya dan tatacara amalan keselamatan kebakaran,” katanya.

Mohamad Zin berkata demikian semasa berucap di majlis penutup Pertandingan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Negeri Melaka 2019 di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama, Ketua Unit Kokurikulum merangkap Timbalan Ketua sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman serta pegawai kanan JBPM Melaka.

 

CATEGORIES