Kaji semula penggunaan ‘air blower’

Kaji semula penggunaan ‘air blower’

SELAIN sampah daun, longkang di Peringgit Jaya turut dipenuhi pasir dan lebihan simen yang telah mengeras hingga menyekat aliran air dalam longkang berkenaan.

PERINGGIT 19 Jun- “Saya harap pihak berwajib kaji semula penggunaan ‘air blower‘ yang banyak digunakan kontraktor pembersihan untuk bersihkan daun kering,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.

Ianya rentetan beberapa hari lepas, banyak premis perniagaan termasuk rumah di kawasan berkenaan digenangi air lantaran longkang tersumbat selepas hujan lebat selama lebih tiga jam pada malam Ahad lalu.

“Ini kerana sebenarnya air blower hanya ‘menghalau’ sampah sahaja berbanding menyapu kerana apabila mereka (kontraktor) guna air blower ada antara mereka (pekerja pembersihan) menolak sampah (daun kering) dalam longkang hingga longkang boleh tersumbat jika hujan lebat.”

Penegasan berkenaan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee semasa wakil rakyat berkenaan turun padang memantau kerja-kerja pembersihan kawasan Peringgit Jaya, petang tadi.

Jelasnya, hasil tinjauannya mendapati dalam longkang kawasan berkenaan sarat dengan daun kering yang telah menutup aliran air hingga menjadi punca kawasan tersebut banjir dan dilimpahi air.

“Saya sudah beberapa kali lihat ada kontaktor yang guna air blower macam menolak sampah.

“Sampah daun tidak boleh ditolak menggunakan air blower, jika ditolak ia akan masuk dalam longkang dan akan menyebabkan longkang tersumbat,” kata beliau kepada MelakaKini.

Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Dan Industri Asas Tani Negeri Melaka juga turut menegaskan pemilik premis tidak boleh pentingkan diri sendiri dengan cara meletakkan simen kekal pada longkang masing-masing hingga menyukarkan pihak pembersihan mahu membersihkan longkang kawasan premis mereka.

“Pemilik premis jangan pentingkan diri sendiri, jangan menutup longkang dengan menggunakan simen atau batu kekal kerana ia akan menjadi masalah kepada kontraktor untuk melakukan kerja pembersihan,” katanya.

Sehubungan itu, Norhizam berharap penggunaan air blower dalam kalangan kontraktor pembersihan dapat dikaji semula lantaran sebenarnya tidak bertindak membersihkan sesebuah kawasan.

CATEGORIES
TAGS