Kaji semula projek perumahan tertangguh – Adly

AYER KEROH 13 Feb. – Kerajaan negeri sedang mengkaji projek perumahan yang masih tertangguh melebihi tempoh dua tahun di negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia rentetan terdapat projek perumahan sebelum ini yang sudah diluluskan sejak 1994, namun masih tertangguh sehingga hari ini.
Beliau berkata, bagi setiap pembangunan baharu kerajaan negeri telah menetapkan tempohnya adalah selama dua tahun selepas mendapat kelulusan.
“Memang setiap pembangunan baharu kita bagi tempoh dua tahun, tapi kita sedang melihat semula projek-projek sebelum ini kerana masih ada yang belum siap.
“Kita akan semak semula secara keseluruhannya, apa punca dan sebab pembangunan itu tertangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Syarikat Delta Diversified Sdn. Bhd. di Seri Negeri, hari ini.
Jelas Adly, inisiatif utama dilakukan setakat ini adalah berjumpa dengan pihak pemaju projek perumahan tersebut.
“Kita akan jumpa pemaju dan lihat apa punca projek tersebut ditangguhkan serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Bagaimanapun, setakat ini kita masih dalam proses mendapatkan maklumat secara keseluruhan projek-projek perumahan tersebut,” katanya.