“Kalau boleh kita akan selesaikan isu rakyat pada waktu itu juga,”- Adly

“Kalau boleh kita akan selesaikan isu rakyat pada waktu itu juga,”- Adly

MASJID TANAH 13 Feb. – Penambahbaikan berhubung model yang digunakan dalam Hari Bertemu Rakyat (HBR) akan diperkasakan bagi menyelesaikan isu rakyat dengan lebih efisien.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penganjuran HBR itu perlu ditambah baik ,malah pihaknya mahukan jalan terbaik bagi mengatasi setiap permasalahan yang berlaku melalui aduan pada HBR.

“Kalau boleh kita mahukan masalah yang berlaku melalui aduan dari rakyat diselesaikan pada waktu itu juga melalui kerjasama pelbagai agensi terlibat melalui penganjuran HBR.

“Seperti masalah yang berlaku pada hari ini di mana pengadu sebelum ini tidak menerima apa-apa bantuan dan kita selesaikannya melalui bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada hari ini juga.

“Kita akan dapatkan maklumat mengenainya dan pada hari sama kita akan lakukan siasatan terhadap latar belakang pengadu dan menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MKPPK) juga perlu bekerjasama terhadap perkara ini kerana mereka lebih arif mengenai kedudukan taraf masyarakat setempat.

“Malah penganjuran HBR Perdana yang dilaksanakan ini kerajaan negeri akan meneruskan ke setiap parlimen di Melaka dan kita akan mengutamakan dahulu di kawasan luar bandar mengikut kesesuaian masa.

“Seperi penganjuran di Masjid Tanah hari ini, dilihat ia sangat memerlukan penganjuran seperti ini kerana lokasi yang jauh dengan pentadbiran kerajaan negeri akan memudahkan rakyat bagi meluahkan aduan dan cadangan secara terus kepada saya.

“Di samping itu, kita akan mempelbagaikan lagi usaha bagi menyampaikan dasar-dasar kerajaan dan peluang yang bermanfaat kepada rakyat seperti HBR Perdana hari ini juga membabitkan penglibatan Askar Wataniah bagi memberi mesej kepada rakyat mengenai kerjaya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat Perdana Fasa 1 diadakan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Menurut beliau, menerusi program terbabit, pihaknya turut menerima sebanyak 81 aduan yang diajukan penduduk kawasan berkenaan dan akan menyelesaikannya sebaik mungkin.

Ujarnya, majoriti aduan yang diterima pada penganjuran itu membabitkan isu kebajikan masyarakat, keusahawanan dan pemilikan tanah.

“Hari ini kita lihat ramai msyarakat telah menerima maklumat tepat mengenai cara mendapatkan bantuan kerajaan malah ada juga keluarga yang sebelum ini tidak mendapat bantuan disebabkan rasa malu, telah juga kita selesaikan melalui MAIM.

“Jadi hari ini kita luluskan beberapa bantuan kepada keluarga yang hadir kerana kita tahu ada sebahagian masyarakat peka terhadap perkara ini, namun ada juga yang agak sukar disebabkan kekangan lain bagi bertemu nasib dengan agensi kerajaan terlibat.

“Begitu juga dengan keusahawanan kita telah maklumkan kepada mereka bahawa banyak inisitif kerajaan negeri melalui Amanah Finance House (AFH), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta pelbagai lagi manfaat ditawarkan buat rakyat.

“Bagaimanapun, ia memakan sedikit masa kerana kita perlu menilai semula setiap produk yang mereka keluarkan, apa pun kita cuba lakukan terbaik buat mereka.

“Termasuk juga dengan isu tanah kerana penganjuran ini juga membabitkan agensi terlibat dan mereka mempunyai maklumat berkaitan itu dan jika ada pertimbangan terbaik kita akan selesaikan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS