Kamarudin perlu tahu beza istilah kritik & fitnah – Fakhrul

AYER KEROH 8 Feb. – Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Melaka, Fahkrul Razi Hamdan menyelar kenyataan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek yang mengatakan kerajaan negeri tidak boleh menerima sebarang kritikan.
Katanya, beliau mempersoalkan parti pembangkang itu adakah pihaknya tidak mampu bezakan antara fitnah dan kritik.
Jelasnya, pemimpin utama parti yang dikenali sebagai guru agama tidak mampu bezakan antara memberi kritikan dengan menimbulkan persepsi jahat kepada masyarakat dengan menabur fitnah.
Menurutnya, seorang pemimpin seharusnya mengamalkan sifat amanah dan bertanggungjawab melalui setiap percakapan kerana ia akan menjadi ikutan kepada pengikutnya.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat supaya menolak pimpinan yang bertopengkan agama demi kepentingan politik semata-mata sepertinya.
“Tidak sedarkah beliau akan kesan fitnah dan mengadu domba dari ucapan diucapkan beliau?
“Dan adakah wujud ajaran Islam membenarkan memfitnah orang walaupun terhadap musuh sekali pun?
“Kami juga musykil bagaimana seorang ustaz rela memfitnah dan mengelirukan rakyat sedangkan kami yakin kerajaan negeri sentiasa menerima kritikan dan teguran.
“Namun, ia bukan berunsur fitnah yang akhirnya menimbulkan persepsi buruk rakyat kepada kerajaan, sekali gus memecah-belahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beberapa laporan polis telah dibuat melalui dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini bagi menuntut siasatan atas kenyataan dilemparkan pemimpin parti berkenaan.
Dalam sebuah ceramah disampaikan dua Februari lalu, parti terbabit melemparkan fitnah mengenai pengurusan masjid di negeri ini yang gagal dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam melantik jawatankuasa masjid.
Selain itu, duit tabung masjid diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk diuruskan dan masjid di negeri ini tidak boleh menguruskan duitnya sendiri.