Kampung di Lubok Cina masih ‘terselamat’ daripada bekalan air berjadual

Walaupun begitu, gunakan air dengan berhemat...

Kampung di Lubok Cina masih ‘terselamat’ daripada bekalan air berjadual

DIN AHMAD

LUBOK CINA 6 Feb. – Pada ketika sebahagian besar kawasan di Melaka menerima Bekalan Air Berjadual, lain pula bagi kebanyakan kampung dan taman perumahan di sini yang masih ‘terselamat’ daripada program yang dijalankan sejak 29 Januari lalu.

Tinjauan MelakaKini di beberapa kampung di sini hari ini mendapati penduduk lega kerana masih menikmati bekalan air secara normal seperti yang sering dinikmati sebelum langkah berkenaan dilaksanakan kerajaan negeri.

Nuradlina Ahmad, 24, berkata, dia dan penduduk lain di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini tidak menghadapi masalah untuk membasuh pakaian, pinggan mangkuk, mandi dan seumpamanya kerana menerima bekalan air walaupun perlahan berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah, sejak bekalan air berjadual dijalankan 29 Januari lalu, kampung kami tetap ada air tetapi kecil, tidak seperti selalu.

“Bagaimanapun, kami tetap mengambil langkah berhati-hati menadah air dalam banyak bekas bagi mengelakkan ketiadaan air,” katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan penduduk di kawasannya akan turut mengalami bekalan air berjadual apabila kerajaan negeri melaksanakan bekalan air berjadual fasa kedua mulai Isnin depan hingga akhir bulan ini.

Penduduk Kampung Sungai Jerneh, Norini Isha, 57, berkata, penduduk kampung itu tidak menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan harian berikutan tidak terbabit dalam langkah berkenaan.

“Alhamdulillah, sebelum ia bermula, saya dan anggota keluarga sudah membeli tong air dan menadahnya untuk menghadapi bekalan air berjadual tetapi kami dapati bekalan air tetap ada walaupun kecil.

“Walaupun ada air, kami tetap menadah air kerana manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja kampung kami disenaraikan dalam bekalan air berjadual,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik berkata, kawasan berkenaan mendapat bekalan air kerana lokasinya hampir dengan Rembau, Negeri Sembilan, iaitu negeri yang membekalkan air kepada Melaka melalui kerjasama antara kedua-dua kerajaan negeri.

“SAMB mendapat bekalan air dari pelbagai tempat di Negeri Sembilan dan air itu tidak perlu dirawat di loji SAMB kerana ia memang sudah sedia terawat sebelum disalurkan terus ke paip utama di pelbagai kampung,” katanya.

Ketua Menteri, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan berkata, Melaka hanya membeli bekalan air terawat dari Negeri Sembilan dalam kapasiti rendah 11,400 meter padu sehari, berbanding bekalan air mentah dari Johor 220 juta liter sehari.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bercadang mendapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan pada masa akan datang bagi menampung masalah kekurangan air di empangan utama di Melaka.

CATEGORIES