Karnival Deepavali medium eratkan hubungan silaturahim

Karnival Deepavali medium eratkan hubungan silaturahim

ADLY beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Perasmian Karnival Deepavali Peringkat Daerah Jasin 2018 di Jasin Bestari, kelmarin.

Oleh JURAIDAH OTHMAN

JASIN 31 Okt. – Penganjuran Karnival Deepavali dilihat sebagai medium terbaik masyarakat India khususnya usahawan bagi memupuk kerjasama sihat dan akrab.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Karnival Deepavali memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan sektor ekonomi serta pelancongan di Negeri Melaka khususnya dan daerah Jasin.

Beliau berkata, selain itu penganjuran karnival tersebut juga merupakan salah satu usaha yang mampu memupuk perpaduan pelbagai kaum.

“Selain dapat merapatkan hubungan, pengunjung juga boleh merasai juadah enak masyarakat India yang disediakan,” katanya ketika nerucap merasmikan Karnival Deepavali Peringkat Daerah Jasin 2018 di Jasin Bestari, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mustaffa Ali dan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Adly berkata, Deepavali merupakan salah satu perayaan utama di Malaysia yang diraikan masyarakat India. Ujarnya, kehadiran perayaan ini bukan saja membuka ruang kepada sanak saudara merapatkan hubungan, malah kunjungan rakan-rakan pelbagai bangsa dan agama juga dialu-alukan.

Menurutnya, mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan.

“Memasuki era baharu ini, kita perlu membina hubungan kaum yang lebih erat dan mesra dengan meraikan satu bangsa Malaysia yang lebih baik.

“Tugas utama untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik pada masa ini adalah memastikan keharmonian kaum dan agama terjamin.

“Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, menjadi tanggungjawab kita melindungi keamanan, keharmonian dan perpaduan serta menahan diri dari perbuatan melampau, provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan berterusan.

“Kita harus bersama-sama kerjaan memulihara keharmonian negara dari diancam akibat polarisasi kaum dan politik berlebihan. Ini kerana ia boleh menyebabkan pergolakan antara kaum apabila terhakisnya sikap saling memahami,” katanya.

CATEGORIES