Karnival PLH 2018 UTeM gamit pengunjung

Karnival PLH 2018 UTeM gamit pengunjung

DURIAN TUNGGAL 19 Sept. – Karnival Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) 2018 bakal diadakan pada 26 hingga 29 September ini anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Karnival PLH 2018 berkenaan akan diadakan di Perpustakaan Laman Hikmah Kampus Induk UTeM.

Pengarah Program merangkap Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UTeM, Azman Ayup berkata, antara objektif karnival itu bagi menyebarkan ilmu melalui penyediaan bahan bacaan pelbagai genre oleh penerbit dan pembekal buku tempatan dan antarabangsa kepada warga universiti dan masyarakat setempat.

Katanya, menerusi medan sebegini akan membantu melahirkan masyarakat minda kelas pertama melalui pembacaan bahan rujukan yang berkualiti, sekali gus menyokong kepada pembudayaan ilmu sepanjang hayat.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang dan bakal memikat para pengunjung yang disasarkan terdiri warga UTeM, pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, barisan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) serta orang ramai dari sekitar Melaka dijemput bagi mendapatkan manfaat besar dari karnival tersebut.

Pelbagai pengisian utama untuk Karnival PLH 2018 selama empat hari itu turut dimuatkan aktiviti seperti pameran buku dan jualan, Pertandingan Inovasi Produk Kitar Semula, ‘Wheel of Fortune’, ceramah motivasi, permainan dalaman, persembahan kumpulan Buskers, ‘Environment Run’ serta banyak lagi.

Majlis perasmiannya pada 26 September 2018 pada sebelah pagi melibatkan kepimpinan tertinggi UTeM dan akan dirasmikan kepimpinan tertinggi Negeri Melaka.

CATEGORIES