Kaunter permohonan BSH DUN Kesidang dibuka hingga 15 Mac ini

PERINGGIT 7 Mac – Kaunter Permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) dibuka sejak dua minggu lalu di Japerun DUN Kesidang bagi memberi kemudahan penduduk melakukan permohonan insentif tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin berkata, operasi pembukaan kaunter itu masih dibuka sehingga 15 Mac ini dan mengutamakan penduduk yang tiada kemampuan bagi melakukan permohonan secara terus ke Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Ujarnya, perlaksanaan itu dilaksanakan bagi memberi kemudahan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mana-mana individu yang kurang kemampuan.
“Pihak kami menerima sambutan menggalakkan sejak hari pertama dibuka dengan direkodkan seramai 150 permohonan diterima seawal tengah hari.
“Kaunter ini masih lagi dibuka sehingga 15 Mac ini bermula Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
“Setakat ini permohonan yang diterima dari UTC setiap hari merekodkan kira-kira 1,000 pemohon dari seluruh Melaka dicatat dalam sehari,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Kompleks Japerun Dun Kesidang di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap pemohon yang ingin melakukan permohonan di kaunter tersebut diingatkan agar menyediakan beberapa dokumen yang diperlukan bagi memudahkan proses dokumentasi.
“Pemohon perlu mengisi borang yang akan disediakan dan perlu menyertakan bersama salinan kad pengenalan pasangan, salinan dokumen pengenalan anak yang ditanggung, salinan sijil perkahwinan, penceraian atau sijil kematian pasangan (jika ada).
“Saya harap pemohon yang berjaya akan berbelanja dengan cara yang berhemah untuk menerusi kehidupan seharian,” katanya.