KBS tawar bekas banduan muda peluang kedua

KBS tawar bekas banduan muda peluang kedua

TELOK MAS 12 Mac – ‘Banduan muda’ yang telah selesai menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney Telok Mas (SHGTM) perlu diberikan peluang kedua untuk memastikan masa hadapan mereka terjamin.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Ayed Abdul Rahman berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu belia berisiko menerusi program perintis yang akan dilaksana April depan.

Menurutnya, program itu bertujuan memberikan tempat khas kepada pelajar SGHTM mempelajari kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).

“Kita mahu pastikan penghuni di sini mendapat pendidikan teknikal dan vokasional dan latihan (TVET) sebaiknya , justeru membuka peluang mereka mendapat pekerjaan berkualiti tinggi.

“Projek ini akan dilaksanakan di IKTBN Chembong, Negeri Sembilan yang mana ia merupakan antara IKTBN terbaik dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Lawatan Kerja ke SHGTM di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen ; Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim .

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim dan Pengarah Penjara Negeri Melaka, Datuk Abdul Aziz Muhamad.

Menerusi lawatan itu, Syed Saddiq turut menyerahkan Gelanggang Tinju Manny Pacquiao kepada pihak sekolah Henry Gurney di atas kejayaan melahirkan atlet tinju.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq akan berbincang bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan seorang pelajar SHGTM yang sepatutnya mewakili negara dalam sukan tinju, namun tidak dibenarkan kerana masih dalam tempoh tahanan.

“Perkara ini perlu dibawa ke depan kerana, jika mereka mewakili negara, sebaiknya kita cari jalan sebaik mungkin untuk membantu mereka,” katanya.

CATEGORIES
TAGS