KDNK Melaka: Industri pelancongan antara penyumbang terbesar

JAKARTA (INDONESIA) 26 Feb. – Industri pelancongan menjadi antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Melaka, jelas Ketua Menteri, Adly Zahari.
Menurutnya, pada tahun 2018, sejumlah 17.02 juta pelancong direkodkan melawat Melaka, iaitu peningkatan sebanyak 225,630 orang atau 1.34 peratus berbanding tempoh yang sama 2017.
Menurutnya, pada tahun 2017, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 45.6 peratus kepada KDNK Negeri dengan nilai output RM19.651 billion.
“Banyak faktor yang menjadi tarikan pelancong datang ke negeri ini, antaranya Melaka merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf sejak 7 Julai 2008.
“Kita juga berjaya mengekalkan warisan sejarah tinggalan Portugis, Belanda, Jepun dan British dan memulihara budaya ketara dan tidak ketara pelbagai etnik sehingga ke hari ini.
“Selain itu, Melaka juga mempunyai pilihan tempat-tempat tarikan pelancong yang unik dan mempesonakan berdasarkan 13 sub sektor pelancongan yang ditawarkan, antara produk pelancongan popular seperti Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari (MTS) dan Encore Melaka serta 24 jenis muzium dan 12 buah galeri yang terdapat di seluruh negeri Melaka,” jelasnya.
Adly berkata demikian semasa berucap merasmikan Minggu Pelancongan Negeri Melaka &
Majlis Perasmian Galeri Melaka 2019 di Galeri Melaka, Padang Kota Tua, Gedung Pos Jakarta Barat, Indonesia, sabtu lalu.
Hadir sama, Gabenor DKI Jakarta, Anies Rasyid Baswedan; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis; Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Zamshari Shaharan dan Pengarah, Tourism Malaysia Jakarta, Roslan Othman.
Turut hadir, Pengurus Besar, Tourism Melaka, Zairi Suboh; Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Fadhilah Md. Saleh serta Para Penggiat Industri Pelancongan Malaysia dan Indonesia.
Mengenai penubuhan Galeri Melaka di Jakarta, Adly memberitahu, Galeri Melaka di Jakarta adalah salah satu manifestasi nyata hubungan budaya dan sejarah antara Kota Melaka dan Kota Jakarta yang dahulunya beralamat di Jalan Melaka 7-9, Kelurahan Roa Melaka, Kecamatan Tambora, Jakarta Barat.
“Pembukaan semula Galeri Melaka di lokasi baharu pada 23 November 2018 memberi impak yang cukup besar kepada kadar peningkatan pengunjung ke geleri tersebut.
“Selain maklumat berkaitan sejarah pembukaan Melaka, Galeri Melaka turut menempatkan risalah berkaitan produk pelancongan seperti muzium, Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Encore Melaka dan tempat-tempat bersejarah.