Kebajikan rakyat dijaga dari semasa ke semasa – Mas Ermieyati

Kebajikan rakyat dijaga dari semasa ke semasa – Mas Ermieyati

MASJID TANAH 11 Feb. – Pelbagai program kebajikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di Parlimen Masjid Tanah demi kebajikan penduduk kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin berkata, antara program kebajikan itu termasuk menjalankan kelas tuisyen yang akan beroperasi di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah.

Jelasnya, ia akan dijalankan awal Mac depan sebagai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan umum iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Mas Ermieyati, pelbagai langkah lain akan diambil dalam menjaga kebajikan dan menyelesaikan masalah penduduk di kawasan itu.

“Sesi bertemu pemimpin masyarakat akan dilaksanakan di antara pemimpin akar umbi iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan ini.

“Ianya bagi menjalin keserasian antara mereka, sekali gus dapat membentuk kata sepakat dalam menangani permasalahan
penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Guru Penyayang & Salam Hormat ‘Malaysian Way Of Greetings’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi di sini, pagi tadi.

Pada program itu, amanat kepada mentor dan mentee sekolah terbabit diserahkan kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5.

Menurut Mas Ermieyati, program itu harus diterapkan dalam membentuk bangsa penyayang yang perlu dididik dalam
sekolah.

“Jalinan antara pelajar dan guru penting, sekali gus dapat mengatasi segala permasalahan sekiranya semangat ini
dapat disemai,” katanya.

CATEGORIES