Kejohanan Sukan Olahraga SK Lesong Batu pupuk murid bersukan

LESONG BATU 14 Feb. – Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Lesong Batu kali ke-10 yang diadakan baru-baru ini diraikan dengan meriah, malah menerima sambutan ibu bapa yang hadir ke sekolah itu.
Exco Wanita, Kebajikan Dan Pembagunan Luar Bandar, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, pelaksanaan acara tahunan sekolah itu, seharusnya disambut bagi menggalakkan minat bersukan dalam aktiviti seharian murid.
Menurutnya, aktiviti itu seharusnya
dipupuk dari peringkat sekolah lagi dan pihak sekolah perlu menjadi peneraju utama bagi memupuk semangat bersukan.
“Di dalam dunia yang semakin mencabar ini telah menjadikan bidang sukan sebagai satu bidang kerjaya yang amat menarik.
“Kita bukan sahaja bersukan untuk menyihatkan badan tetapi, jika bakat ini dapat dipupuk ke peringkat yang lebih tinggi, tidak mustahil pada satu hari nanti ada dalam kalangan murid yang menjadikan bidang sukan ini sebagai satu kerjaya pilihan.
“Selain menjamin kecergasan serta kecerdasan minda dan kesihatan, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dan agama dapat memupuk semangat kesukanan dan perpaduan sekali gus mengeratkan tali silaturahim dan muhibah” katanya pada ucapan perasmian program terbabit.
Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Lesong Batu kali ke-10 telah menjayakan pelbagai aktiviti sukan olahraga kepada murid terlibat di sekolah itu.
Program diadakan di sebelah waktu pagi itu turut meraikan beberapa pemenang yang mendapat tempat di dalam setiap acara diadakan sekolah itu.
Pada masa sama, SK Lesong Batu turut menerima beberapa sumbangan disampaikan Siew Lin yang meluluskan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), RM 1,000 untuk temasya sukan tahunan tersebut dan RM1,000 yang disalurkan buat pasukan penari Lantera Budaya sekolah berkenaan.