Keluarga Iskandar ke layar perak

Keluarga Iskandar ke layar perak

DRAMA bersiri ‘Keluarga Iskandar’ pastinya tidak asing dalam kalangan peminat seni tempatan.

Diterbitkan pada tahun 2012, drama bersiri ini mula mencipta nama apabila ia mendapat sambutan menggalakkan dari penonton tanah air.

Retetan sambutan positif itu, penerbitnya telah menghasilkan siri musim kedua yang mana ia merupakan musim terakhir drama bersiri ini.

Pengakhirannya bagaimanapun menimbulkan pelbagai persoalan kerana banyak yang tidak terjawab dan membuatkan penonton berteka-teki.

Namun segala persoalan itu terjawab menerusi sentuhan baharu drama bersiri ini yang diangkat ke layar perak.

Penerbti Eksekutif yang juga pengarahnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin, berkata, selepas musim kedua Keluarga Iskandar, dia mendapat banyak pertanyaan dari peminat yang bertanya bila musim baru drama itu akan disiarkan memandangkan banyak persoalan tergantung pada musim kedua.

“Apabila pihak stesen televisyen tidak mahu menerbitkan musim ketiga, saya dan produksi ambil keputusan untuk hasilkan filem yang akan menjawab persoalan tersebut dan kami dapat kebenaran dari pihak Astro untuk terbitkannya ke filem ini,” katanya karya ini akan mengambil judul Keluarga Iskandar The Movie.

Filem yang dijangka menemui penonton September tahun ini menampilkan barisan pelakon asal drama itu termasuk beberapa muka baru seperti Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Sobri Anuar, Heira Hassan, Azhar Sulaiman, Khaireesya Kemal dan Raja Ema.

‘Keluarga Iskandar’ merupakan sebuah naskhah komedi yang berkisarkan mengenai kehidupan seharian keluarga arwah Haji Iskandar terdiri dari Mak Jah dan lima orang anaknya serta keluarga masing-masing.

CATEGORIES