Kemasukan Feb. Program Sarjana Muda : UTeM terima 331 pelajar baharu

DURIAN TUNGGAL 18 Feb. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima seramai 331 pelajar baharu bagi program Sarjana Muda kemasukan Februari Sesi 2018/2019.
Kemasukan pelajar terbabit diadakan di Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk UTeM di sini, baru-baru ini.
Uniknya pendaftaran pelajar baharu ini merupakan kali pertama pemohon-pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi dan Lepasan Diploma Politeknik/universiti awam/swasta.
Mereka diterima melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat bagi Semester Februari berbanding sesi-sesi lepas yang hanya dibuka kepada lepasan Diploma dari UTeM sahaja.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad berkata, pendaftaran pelajar baharu itu melibatkan 37 pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), 67 pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK).
“Sementara itu, 85 pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan 83 orang bagi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).
“Manakala 59 pelajar lepasan Diploma UTeM telah mendaftar bagi program pengajian di bawah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM),” katanya.
Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar, Mohd Nizam Pavel berkata, dari segi operasi keseluruhan pendaftaran pelajar itu berjalan lancar seperti yang dirancang.
Menurutnya, pelajar-pelajar baharu yang mendaftar menginap di kolej kediaman UTeM disediakan pihak universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Hari Suai Kenal selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Februari lalu.
Pada hari suai kenal itu, para pelajar mengikuti beberapa sesi, antaranya sesi Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), sesi Taklimat Tatatertib dan Disiplin, sesi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Program Jelajah Kampus, sesi Taklimat Pembiayaan dan Kebajikan dan lain-lain.
Kesemua taklimat diadakan itu bertujuan membantu para pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran universiti dan mengenali universiti dengan lebih dekat di samping merapatkan lagi hubungan mereka dengan pihak pengurusan tertinggi serta warga kerja UTeM.