Kementerian Iindustri Utama kemuka cadangan bagi pakej rangsangan ekonomi

Kementerian Iindustri Utama kemuka cadangan bagi pakej rangsangan ekonomi

KUALA LUMPUR 20 Feb. –  Kementerian Industri Utama sedang berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka cadangan melibatkan penggiat industri sektor komoditi dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan dibentangkan minggu depan.

Pakej tersebut yang bertujuan mengurangkan impak luaran ekonomi akibat penularan COVID-19, akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis depan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata walaupun beberapa sektor seperti pelancongan terjejas teruk akibat penularan itu, harga minyak sawit mentah (MSM) sebaliknya masih agak baik iaitu sekitar RM2,700 hingga RM2,800 satu tan.

“Saya gembira kerana sektor komoditi tidak banyak terjejas namun kementerian ini akan tetap mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pertimbangan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini, hari ini.

Mengulas acara hari ini, Kok berkata program biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan secara berfasa yang dimulakan di Langkawi dan Labuan pada Januari 2020, akan turut diperluas ke seluruh negara pada Jun 2021.

Langkah ini, katanya, akan menyokong permintaan terhadap minyak sawit selain menstabilkan harga dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Kerajaan sebelum ini memberi mandat bagi pelaksanaan program B10 bagi sektor pengangkutan pada 1 Feb, 2019 manakala program B7 dalam sektor industri pada 1 Julai, 2019.

Menerusi penggunaan biodiesel B20 (20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus diesel petroleum), negara ini akan menggunakan sejumlah 1.06 juta tan minyak sawit setahun.

Kok berkata, pelaksanaan program B20 dalam sektor pengangkutan dan lanjutan program B7 dalam sektor industri akan menyaksikan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan di peringkat tempatan serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau berjumlah 3.8 juta tan karbon dioksida setiap tahun.

Usaha yang melibatkan kerjasama dengan syarikat petroleum seperti PETRONAS, Shell, Petron, Chevron dan BHP, membabitkan pengedaran biodiesel B20 secara berfasa kepada lebih 3,400 stesen minyak di serata Malaysia mengikut pelan program tersebut.

Namun, katanya, masih terdapat banyak depot di serata negara dengan kemudahan terbabit kini dalam proses dinaik taraf bagi membolehkan pelaksanaan program sehingga B30 yang menjadi hala tuju masa depan negara ini.

“Kita akan melaksanakan biodiesel B30 di masa depan dan pada masa itu bekalan tersebut dapat diedarkan oleh kemudahan terbabit,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES