Kenakan caj parkir, pelanggan tidak puas hati

Kenakan caj parkir, pelanggan tidak puas hati

AYER KEROH 12 Jun – Pasar Raya Mydin MITC diminta pertimbangkan caj denda kehilangan tiket parkir kereta di kawasan pentadbirannya dari RM20 kepada nilai lain yang lebih murah.

Pengguna yang berdepan masalah tersebut memberitahu, caj kadar baharu yang dilaksanakan itu agak mahal sedangkan caj biasa bayaran tempat letak kereta ialah RM1 saja.

Seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Norlizah Karim, 47, berkata, sepatutnya pihak yang mengendalikan parking ada sikap timbang rasa untuk mengenakan denda kepada pelanggan sedangkan mereka sudah berbelanja banyak di situ.

“Saya tidak akan hilangkan tiket parking dengan sengaja, tetapi pada keadaan-keadaan yang sibuk pada musim perayaan ini, kehilangan tiket parking adalah di luar kawalan.

“Sedangkan saya sudah berbelanja lebih ratusan ringgit membeli pakaian dan pelbagai barangan kelengkapan hari raya di sini.

“Apa salahnya memaafkan pelanggan, saya ada resit belian yang bernilai ratusan ringgit, tetapi hanya kerana tiket berharga seringgit itu hilang, saya didenda RM20 pula.

“Kan boleh kalau tunjukkan saja resit pembelian itu sebagai bukti yang saya memang berbelanja di Mydin,” katanya yang kesal dengan keadaan menimpanya kelmarin.

Seorang lagi pengunjung, Jamilah Ismail, berkata, walaupun tidak gembira dengan keputusan pengurusan Mydin yang mula mengenakan caj parking kepada pelanggan sejak April lalu, namun dia akur dengan keputusan tersebut kerana memang kerap berulang alik ke pasar raya tersebut.

“Dulu senang berulang-alik ke Mydin tak perlu bayar parking, tetapi sekarang kena bayar pulak.
Walaupun tidak mahal, tetapi seminggu sekali saya mesti ke sini, beli ikan, ayam, sayur dan barangan dapur.

“Dalam kedudukan kewangan yang dikatakan tidak berapa kukuh dan stabil, eloklah jangan mengenakan caj parking kepada pelanggan sebagai toleransi kepada orang ramai.

“Sedangkan berapa tahun sebelum itu, ok saja, pelanggan tak perlu bayar parking, tetapi kenapa sekarang mahu dikenakan bayaran pula,” katanya.

Seorang peniaga ‘booth’ yang menjual produk kecantikan di situ, Norasmah Ghani berkata, selepas mengetahui pihak Pasar Raya Mydin mengenakan caj bagi kemudahan tempat letak kereta di kawasan tersebut, dia hanya menerimanya dengan hati positif.

“Cuma apa yang saya perasan, selepas dikenakan caj parking, pelanggan mula berkurang dan pendapatan jualan saya juga berkurang.

“Rata-rata peniaga kecil di sini berpendapat kekurangan hasil jualan juga ditambah oleh faktor caj parking menyebabkan orang ramai tidak mahu berkunjung ke sini.

“Cuma pada musim perayaan ini tidak dinafikan, keadaan berubah di mana lebih ramai orang berbelanja, tetapi ia bukan selamanya begini dan selepas raya pasti lengang,” katanya.

Sementara pekerja di kedai pakaian di hadapan bangunan Mydin, Annur Syaikul pula berkata, keadaan petak parking percuma di hadapan lot-lot kedai pula menjadi semakin sesak selepas Mydin menguatkuasakan caj parking di kawasan tersebut.

Katanya, jika sebelum ini pelanggan meletakkan parking dalam kawasan Mydin, tapi sejak syarat itu dikuatkuasakan, orang ramai selesa meletakkan kenderaan di petak parking percuma di luar bangunan Mydin.

“Ini menyebabkan petak-petak parking percuma itu dipenuhi kenderaan dan lebih malang jika pelanggan turut membawa troli di situ.

“Bukan itu saja, keadaan juga berbahaya kerana ada kalanya troli yang ditinggalkan pelanggan berisiko bergerak sendiri hingga ke tengah jalan sekiranya ditiup angin kuat dan dilanggar objek lain,” katanya.

CATEGORIES