Kenali budaya penduduk Acheh

Kenali budaya penduduk Acheh

ZULAIKA (kanan) memberi makanan dan minuman kepada seorang kanak-kanak di Acheh.

MASJID TANAH 16 Okt. – Pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) terpilih mewakili negara dalam International Culture and Heritage Exploration Program Malaysia-Indonesia 2018 di Banda Acheh, Indonesia, baru-baru ini.

Zulaika Jamaluddin dari jurusan Sijil Teknologi Maklumat turut bersama 20 pelajar Kolej Komuniti seluruh Malaysia.

Mereka terdiri barisan kepimpinan Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa (PRISS) Kebangsaan dan wakil Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Pengarah KKMT, Mohd Rahim Mahmood berkata, program lima hari itu dipenuhi dengan pengisian ilmiah yang memberi peluang kepada pelajar mengenali budaya luar.

Katanya, ini memberi pengalaman baru kepada pelajar dan kakitangan KKMT dengan menyertai pelbagai program yang diaturkan sepanjang berada di Indonesia.

“Terdapat perkongsian ilmu bersama Universiti Islam Negeri Ar-Raniry dan Universitas Syiah Kuala, kembara rohani peninggalan bencana Tsunami 2004, program silang budaya Malaysia-Indonesia dan aktiviti sukarelawan bersama anak yatim,” katanya.

Jelasnya, aktiviti silang budaya yang dipersembahkan Kolej Komuniti Malaysia bersama pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Indonesia memberi impak keharmonian dan kesepaduan.

“Pengisian aktiviti kemasyarakatan menjadi platform pelajar kolej komuniti untuk menjadi seorang manusia yang memberi manfaat kepada orang sekeliling.

“Aktiviti sukarelawan bersama komuniti dan anak yatim mendekatkan diri pelajar tentang kehidupan masyarakat selain mengeratkan hubungan silaturahim kedua buah negara,” katanya.

Katanya, ia sekali gus memberi impak tinggi kepada percambahan ilmu pengetahuan mengenai dunia kemahiran di antara kedua-dua buah negara.

“Kita diberikan kesempatan untuk melawat Muzium Tsunami dan Perkuburan Massal yang menempatkan lebih 43,000 mangsa tsunami.

“Ini menunjukkan betapa dasyatnya bencana yang melanda serta keupayaan Acheh untuk bangun semula selepas 14 tahun dibadai musibah,” katanya.

Ujarnya, program ini memberi kesedaran kepada warga kolej komuniti supaya menyalurkan bantuan dan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat.

Program ini anjuran Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hadir sama, Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Masjid Tanah, Hasrin Mahadi.

CATEGORIES