Kenang sejarah, tingkat semangat patriotisme

AYER KEROH 20 Feb. – “Pepatah yang mengatakan ‘belajarlah dari sejarah’ memberi maksud yang sangat mendalam dan bijak kerana rakyat dapat mengambil nilai yang cukup berharga untuk membina masa hadapan yang lebih baik.” kata Ketua Menteri, Adly Zahari.
Ujarnya, dengan memahami sejarah dan liku-liku perjuangan pemimpin zaman silam dapat meningkatkan rasa kecintaan setiap rakyat terhadap negara untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme tinggi, jitu dan luhur selain mengenali serta memahami asal-usul bangsa.
Selain itu, Adly memberitahu, pemahaman ke atas perkembangan sejarah masa lalu
adalah asas kukuh untuk memastikan bahawa ilmu sejarah boleh dihayati semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
“Rakyat perlu bersedia menerima hakikat bahawa apa yang telah disepakati secara
persetujuan bersama antara kaum oleh pejuang-pejuang kemerdekaan atau disebut sebagai Kontrak Sosial merupakan ikatan yang harus dihormati dan dipegang erat.
“Di Malaysia, perlembagaan adalah teras kepada perundangan negara, apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah apa yang telah dipersetujui dan dirunding bersama antara kaum semasa kemerdekaan hendak dicapai.
“Melalui konsesus ini, telah membawa kepada persetujuan British melepaskan status
tanah jajahan menjadi sebuah negara merdeka, maka adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkan status kedaulatan negara ini,” tegas Adly.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan di Banda Hilir Pada 20 Februari 1956 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) di sini, hari ini.
Hadir sama; Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Wira Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Hasan; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz.
Pada program itu, sesi bicara sejarah yang bertemakan ‘Perjuangan Kemerdekaan: Dari Rakyat Kepada Rakyat’ membariskan dua ahli penal terdiri Pengarah Muzium Warisan Akademik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd Samsudin dan Profesor Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian.
Manakala, Ketua Pegawai Esekutif, Institut Tun Perak, Zaipu Anwar Zainu bertindak sebagai moderator.
Jelas Adly, pelbagai kaedah telah diusahakan untuk mencetuskan idea dan menjayakan program supaya penyebaran serta perkongsian maklumat daripada sejarawan dapat memberi impak pemahaman terhadap sejarah yang tepat dan sahih.
“Perkongsian ilmu sejarah ini juga diharap boleh memberi kesan yang mendalam kepada golongan sasar khususnya rakyat di negara ini,” tegasnya.