Kenapa perlakukan kami begini?

Kenapa perlakukan kami begini?

AYER KEROH 15 Feb. – ‘Ibarat menunggu buah yang tak jatuh’, begitulah nasib kira-kira 60 kerani jualan tiket bas konvensional Terminal Bas Melaka Sentral di negeri ini.

Ia rentetan masalah yang perlu dihadapi kesemua kerani kaunter itu yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 28 Februari ini.

Penyelia Kaunter Tiket Transnasional, Mohd Marzuki Yusof berkata, kesemua 28 kaunter tiket sewaan di terminal itu diarah dikosongkan pada tarikh tersebut.

Katanya, ia bagi memberi laluan menaik taraf sistem jualan tiket kepada Sistem Tiket Berpusat (CTS) bermula 1 Mac depan.

“Notis tamat khidmat dikeluarkan 7 Februari lalu, ada antara kerani tersebut seperti ibu tunggal berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri ini akan kehilangan kerja.

“Kami tidak menolak penambahbaikan CTS dan operasi bas, tapi fikirkanlah bagaimana nasib kami,” katanya ketika ditemui pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, hari ini.

Jelasnya, syarikat pengendali CTS yang dilantik enggan mengambil mereka bekerja, malah mengambil pekerja baharu.

“Bukan hanya ditamatkan kerja, malah tidak dibayar pampasan walaupun sudah lama bekerja.

“Kami juga banyak tanggungan dan punyai keluarga, dengan keadaan ekonomi sekarang, bagaimana mahu cari pekerjaan baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya akan mengkaji semula terma perjanjian membabitkan kedua-dua pihak.

“Kita akan kaji semula terma perjanjian dan kesan notis arahan yang dikeluarkan kepada kerani terlibat.

“Kita akan adakan pertemuan bersama wakil Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) dan kerani tersebut bagi menyelesaikan masalah mereka Isnin depan,” katanya.

Adly berkata, beliau akan mendapatkan segala maklumat terperinci mengenai notis tersebut kerana kerani itu bekerja di bawah pihak majikan masing-masing.

CATEGORIES