Kerajaan negeri biaya laporan kesihatan belia yang mahu sertai askar wataniah

AYER KEROH 3 Feb. – Kerajaan negeri sedia membantu golongan belia yang ingin menceburkan diri dalam askar wataniah secara sukarela dengan menyediakan laporan perubatan secara percuma.
Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, ia bagi memastikan lebih ramai golongan itu menyertai pasukan sukarelawan terbabit.
Adly yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri berkata, adalah menjadi harapannya untuk melihat anak watan di negeri ini turut serta dalam keanggotaan itu bagi menjaga kedaulatan negara.
Menerusi kerjasama yang baik antara pasukan sukarelawan berkenaan dan kerajaan negeri, beliau akan mengadakan perbincangan dengan JAKPAW bagi membantu sukarelawan terutama golongan belia yang mahu menyertai askar wataniah dengan mengambil tanggungjawab untuk menyediakan laporan kesihatan sebagai langkah permulaan.
“Saya yakin melalui cara itu lebih ramai sukarelawan terutama golongan belia turut serta dalam askar wataniah.
“Setakat ini, mereka (sukarelawan) harus membayar RM80 bagi menjalankan laporan perubatan dan mungkin perkara itu akan dibincangkan oleh JAKPAW, kerajaan negeri akan mengambil tanggungjawab itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Pembukaan Latihan Tempatan Sukarelawa Rejimen 514 Askar Wataniah di Bukit Beruang, Melaka.
Hadir sama, Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Datuk Yusuf Jantan dan Pemerintah Markas Garison Gemas, Kolonel Che Manan Saat.
Adly berkata, pelbagai kerjasama telah dijalankan antara kerajaan dengan askar wataniah menerusi pelbagai program kemasyarakatan untuk menarik lebih ramai sukarelawan menyertai pasukan terbabit.
“Dari segi promosi, kita akan memanfaatkan program bertemu rakyat bersama kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai sukarelawan.
“Kita tahu sukarelawan ini banyak membantu program dan yang terbaharu perkara yang berkaitan dengan isu air,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi ucapan beliau, Adly berkata, kerajaan negeri akan memastikan pelbagai rancangan diperincikan termasuk melaksanakan pembangunan infrastruktur dan fasiliti latihan askar wataniah.
Jelasnya, menerusi JAKPAW, pihaknya akan membantu menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma bagi bakal pegawai dan anggota sukarela di klinik kerajaan dalam negeri.
“Pelaksanaan ini akan turut dipanjangkan kepada pegawai dan anggota sukarela yang akan menyambung perkhidmatan yang mana sebelum ini memerlukan perbelanjaan sendiri,” katanya.
Habis