Kerajaan negeri kenal pasti kawasan ‘black spot’

AYER KEROH 20 Mac – Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dalam memastikan kes kemalangan maut diatasi seterusnya dapat dikurangkan.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia termasuk meningkatkan kemudahan seperti lampu jalan, papan tanda dan garisan jalan di ‘inner main road’ dan ‘outer main road’ di negeri ini.
Menurutnya, untuk itu kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenalpasti kawasan yang sering berlaku kemalangan maut dikategorikan sebagai ‘black spot’
“Saya percaya Unit Forensik Keselamatan JKR yang ditugaskan untuk memantau keadaan ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di sini,” katanya.
Beliau juga menegaskan, faktor geografi turut diberi perhatian dalam usaha merealisasikan kemalangan jalan raya dapat dikawal.
“Kita sentiasa melihat sama ada jalan- jalan sedia ada selamat atau tidak untuk digunakan.
“Bagaimanapun, aspek- aspek keselamatan ini perlu dikenalpasti dan kemudiannya ditambah baik mengikut peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Gue Teck (DAP-Klebang) pada hari ketiga Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.
Gue Teck terdahulu bertanya kepada Adly mengenai perancangan kerajaan negeri mengenai kemalangan maut yang berlaku di negeri ini.