Kerajaan negeri komited pelihara kedaulatan bahasa Melayu

Kerajaan negeri komited pelihara kedaulatan bahasa Melayu

ADLY semasa melawat pameran Karnival Bahasa UTeM.

DURIAN TUNGGAL 25 Okt. – Ketua Menteri, Adly Zahari sentiasa proaktif terhadap usaha- usaha kerajaan negeri lalu terus memperkasa bahasa Melayu selaras kedudukannya sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Adly berkata, bahasa Melayu yang menjadi medium perpaduan masyarakat berbilang kaum memerlukan sokongan semua pihak terutama masyarakat.

Menurut Adly, pihaknya sentiasa utamakan kepentingan berbahasa Melayu dengan tepat bukan hanya dalam urusan perkhidmatan awam, malah pada papan tanda, sebarang bentuk iklan, premis bangunan dan perniagaan.

“Kita akan terus komited menjalankan pelbagai program dan aktiviti bagi memelihara kedaulatan bahasa Melayu, namun ia memerlukan komitmen berterusan yang perlu dipimpin kerajaan dan disokong masyarakat pelbagai lapisan di negeri ini.

“Jika semua pihak berganding bahu melaksanakan kerja masing-masing, maka visi kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan tugas agar bahasa Melayu tidak dianaktirikan dapat dicapai,” katanya.

Adly berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Diskusi Bahasa: Penyatuan Bangsa Malaysia Dalam Kepelbagaian Bahasa dan Karnival Bahasa UTeM di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, baru-baru ini.

Adly berkata, kemajuan dalam ekonomi, industri dan teknologi perlu seiring dengan perkembangan bahasa, kebudayaan, kesusasteraan & kesenian dalam kehidupan.

“Imej Melaka sebagai negeri pelancongan yang bukan hanya unik melalui kepelbagaian bahasa, malah pada nilai dan warisan masih dipertahan sehingga kini.

“Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu akan kita jadikan sebagai jaringan untuk berkomunikasi dalam menyalur dan menyampaikan keberkesanan dan ketelusan terhadap penyampaian dan ketepatan terhadap sesuatu maklumat,” katanya.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak, Zaipul Anwar Zainu dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Program itu anjuran bersama Institut Tun Perak, Dewan Bahasa Pustaka Wialayah Selatan dan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan UTeM.

CATEGORIES