Kerja baik pulih tanah runtuh bermula Jumaat ini

Kerja baik pulih tanah runtuh bermula Jumaat ini

ALOR GAJAH 20 Feb. – Kerja- kerja bagi membaik pulih dalam kejadian tanah runtuh di Taman Sri Naning petang semalam akan bermula Jumaat ini.

Pegawai Kebajikan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Taboh Naning, Taufik Abdul Rahman berkata, semua pihak terlibat sudah mengambil keputusan bagi membaik pulih kawasan berkenaan dan ia akan dilaksanakan di bawah seliaan Pejabat Daerah bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Katanya, kejadian tanah runtuh yang berlaku petang semalam menyebabkan terdapat rekahan hampir 10 kaki dan semakin menghampiri kawasan rumah mangsa terlibat.

“Ia berikutan hujan lebat yang berlaku seterusnya mengakibatkan limpahan air yang sangat deras di kawasan ini.

“Di tebing ini terdapat saluran longkang yang sentiasa mengalir dan ketika hujan berlaku semalam, airnya begitu deras membuatkan tebing ini runtuh.

Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat kajian di lokasi kejadian dan menandakan paras bahaya rekahan di jalan berdekatan lokasi.

“Sekiranya terdapat rekahan baharu, kesemua rumah di lorong tersebut akan diarah berpindah,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Naning dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ketika kejadian kesemua mangsa berada di rumah dan keadaan semakin membimbangkan apabila aliran deras berlaku mengakibatkan tebing berhampiran roboh.

“Atas arahan pegawai daerah, mangsa kemudiannya diarahkan keluar dari kawasan rumah dan dipindahkan ke PPS.

“Buat masa ini, tanah runtuh tersebut melibatkan lima mangsa terdiri dari dua keluarga membabitkan dua pasang suami isteri dan seorang kanak-kanak,” katanya.

CATEGORIES