Kerjasama Putrajaya-Melaka siapkan pelbagai projek bekalan air

Semoga dipermudahkan segala urusan oleh-Nya

Kerjasama Putrajaya-Melaka siapkan pelbagai projek bekalan air

KUALA SUNGAI BARU 21 Feb – Kementerian Kewangan bersetuju membantu Kerajaan Melaka membina paip dari negeri ini ke Sungai Grisek, Muar bagi meningkatkan pengambilan air kepada 440 juta liter sehari berbanding pengambilan sedia ada sebanyak 220 juta liter.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu merupakan antara yang dibincangkan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Putrajaya kelmarin yang memberikan maklum balas positif terhadap usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan itu.

Menurut beliau, kementerian berkenaan pada dasarnya turut bersetuju membantu menyediakan peruntukan untuk membolehkan air diambil dari Sungai Kesang di Muar.

“Mengenai Empangan Jerneh, ia juga termasuk dalam senarai projek yang perlu disegerakan khususnya untuk meningkatkan bekalan air di daerah Alor Gajah.

“Sebelum ini kerajaan negeri sudah memohon peruntukan tambahan RM36 juta sebagai peruntukan tambahan kepada RM163 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek berkenaan yang mampu mengatasi isu bekalan air di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan kerja di beberapa projek pertanian dan penternakan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru dekat sini semalam.

Selain meninjau projek penanaman cili padi mengikut kaedah fertigasi, Adly turut meninjau projek penternakan itik telur dan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi.

Hadir sama, Penyelaras DUN Kuala Linggi, Amran Othman dan Penyelaras DUN Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Menurut Adly, projek Loji Sungai Siput, kira-kira dua kilometer dari Kampung Sungai Jerneh yang dimulakan pertengahan tahun lalu dijangka siap sepenuhnya hujung Mac depan dan ia mampu membekalkan sembilan juta liter air untuk kegunaan penduduk sekitar Lubok Cina dan Masjid Tanah.

Projek bernilai RM11.5 juta itu jelasnya, menggunakan teknologi pembersihan air dari Switzerland dan dicadang diterapkan dalam projek pembinaan Loji Sungai Duyong di Melaka Tengah tidak lama lagi.

Perkara lain yangturut dibincang ujarnya termasuk pembinaan Loji Merlimau bagi meningkatkan bekalan air terawat di selatan Melaka dan Bandaraya Melaka.

“Sekarang loji itu membekalkan 40 juta liter air sehari untuk pengguna dari Merlimau hingga Semabok dan kita meminta Kementerian Kewangan membantu menyediakan peruntukan bagi meningkatkan kemampuan loji itu.

“Kita bercadang meningkatkan kemampuannya membekalkan tambahan 70 juta liter air sehari bagi menjadikanya membekalkan 110 juta liter air sehari untuk penduduk Semabok dan bandar raya Melaka,” katanya.

Justeru, Adly yakin Kementerian Kewangan sedia menyalurkan peruntukan bagi membantu melaksanakan pelbagai projek jangka pendek, sederhana dan panjang berhubung sumber bekalan air di negeri ini.

Tegasnya, perbincangan itu penting bagi kerajaan negeri menjelaskan pelan penyediaan sumber air mencukupi berdasarkan keperluan yang semakin meningkat berikutan pembangunan pesat fizikal dan ekonomi negeri.

Menurutnya, penyediaan sumber bekalan air semakin penting berikutan pertambahan penduduk, perindustrian, pertanian dan pelbagai aspek pembangunan ekonomi dan sosial lain yang memerlukan tindakan penyediaan sumber air.

CATEGORIES
TAGS