Kes dera kanak-kanak: Melaka catat tangga ke-11

AYER KEROH 25 Jan. – Melaka mencatatkan tangga ke-11 berdasarkan statistik rekod penderaan kanak-kanak berbanding negeri lain di Malaysia.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, sebanyak 104 kes penderaan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2017 berbanding 98 kes berlaku pada 2018.

GAMBAR HIASAN… MELAKA mencatatkan tangga ke-11 berbanding negeri lain di Malaysia melalui statistik penderaan kanak-kanak.
Menurutnya, statistik berkenaan direkodkan berdasarkan beberapa jenis penderaan meliputi penderaan fizikal, emosi dan seksual.
Ujarnya, sebanyak 51 penderaan fizikal direkodkan pada 2017 melibatkan 28 kanak-kanak lelaki dan selebihnya adalah perempuan, namun penderaan tersebut menurun kepada 48 kes melibatkan 29 lelaki dan 19 perempuan pada tahun lalu.
Katanya, tiada rekod penderaan emosi berlaku sepanjang tahun 2017, namun sebanyak 2 kes penderaan tersebut berlaku melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan pada tahun 2018.
Burhanuddin berkata, statistik penderaan berkenaan melibatkan usia kanak-kanak lingkungan tiga hingga 18 tahun berlaku sepanjang tempoh dua tahun lalu.
“Kes penderaan seksual pula dilihat begitu sedikit melibatkan kanak-kanak lelaki yang dicatat sebanyak tiga kes berlaku pada 2017 dan empat kes pada tahun lalu.
“Malah, kes tersebut direkodkan tertinggi bagi kanak-kanak perempuan di mana, sebanyak 53 pada 2017 dan menurun kepada 44 kes pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi MelakaKini semalam.
Menurut Burhanuddin, kes penderaan berkenaan melibatkan beberapa faktor seperti perbalahan keluarga, penagihan dan masalah kewangan.
“Namun, ada antaranya juga mengikut teman lelaki dan kecuaian pengasuh turut menjadi punca kepada penderaan kanak-kanak,” tambahnya.