Kes kebakaran meningkat 100 peratus

Kes kebakaran meningkat 100 peratus

AYER KEROH 15 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mencatatkan sebanyak 441 kes berkaitan kebakaran sepanjang bulan lalu, iaitu meningkat 100 peratus berbanding 210 kes bagi Januari lalu.

Pengarahnya, Mohamad Zin Salleh berkata, dari jumlah itu, kebakaran belukar atau lalang mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 302 kes, diikuti sampah (34 kes) bangunan serta isinya (16 kes) dan lain-lain kebakaran (61 kes).

Beliau memberitahu, selain itu, kebakaran membabitkan kenderaan (10 kes), kebun dan ladang (lapan kes), hutan (tiga kes), mesin (satu kes), manakala gerai, gas dan alat perkakas masing-masing dua kes.

Sehubungan itu, Mohd Zin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

“Tindakan itu boleh meningkatkan risiko kebakaran pada musim panas ini, lebih-lebih lagi apabila berserta angin kencang, yang boleh menyebabkan api mudah marak dan merebak,” tegasnya.

Mohamad Zin berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan pertandingan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat peringkat negeri di Balai Bomba Ayer Keroh, semalam.

Program yang berlangsung selama dua hari itu membabitkan sebanyak 13 pasukan kadet dengan 468 anggota yang terpilih bagi mewakil 10 balai bomba seluruh negeri.

Mengulas mengenai program terbabit, Mohd Zin berkata, pertandingan itu bertujuan memilih anggota kadet bomba untuk mewakili Melaka ke perkhemahan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kelantan pada 7 hingga 10 April depan.

“Setiap tahun kita akan mengadakan program perkhemahan dan pertandingan di peringkat kebangsaan bagi mendidik pelajar mengenai ilmu kebombaan, selain membentuk disiplin mereka dalam mengamalkan budaya keselamatan kebakaran dengan lebih efektif,” katanya.

 

CATEGORIES