Ketua Eksekutif MiCoST santuni kakitangan dalam sesi ramah mesra

Ketua Eksekutif MiCoST santuni kakitangan dalam sesi ramah mesra

BANDARAYA MELAKA 18 Okt. – Satu sesi perjumpaan dan ramah mesra di antara kakitangan dan Ketua Eksekutif/Presiden Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) yang baru, Dr. Afizan Azman di pejabat pengurusan kampus tersebut, baru-baru ini.

Selari dengan pelantikan tersebut, Afizan selaku anak jati Negeri Melaka dan punyai pengalaman kerja dalam bidang akademik menetapkan sasaran MiCoST untuk mencapai sekurang-kurangnya empat bintang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (MyQuest) dan ke arah persediaan pengambilan pelajar antarabangsa.

Beliau juga menyasarkan peningkatan bilangan kemasukan pelajar baharu pada setiap sesi pengambilan dan berharap dalam tempoh lima tahun MiCoST mampu menjadi salah sebuah institusi pendidikan tinggi pilihan pelajar dalam negara dan antarabangsa terutamanya pelajar dari negara Asia Tenggara.

“MiCoST punyai program-program yang unik dan menepati permintaan pasaran kerja semasa seperti program dalam bidang Farmasi, Sains Paramedik, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan program Diploma Open Source Computing.

“Saya sarankan agar promosi program-program MiCoST dapat dilakukan dengan lebih berkesan supaya sampai kepada kumpulan sasaran dan seterusnya memilih MiCoST sebagai pusat pengajian tinggi pilihan pelajar dan ibu bapa,” katanya dalam ucapan ringkas.

Afizan juga menekankan supaya para pensyarah mempunyai iltizam tinggi meningkatkan ilmu dan kemahiran dengan mengikuti Kursus Outcome Based Education (OBE) bagi tujuan penambahbaikan berterusan selain mengalu-alukan penglibatan aktif pensyarah dalam kerja-kerja penyelidikan dan inovasi sebagai nilai tambah kualiti ahli akademik.

Selain itu, beliau juga bercadang untuk mewujudkan ‘student lounge’ di kedua-dua kampus MiCoST sebagai daya penarik pelajar bagi melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran di ruang yang santai dan kondusif.

CATEGORIES