Kewujudan Pusat Edu-Pelancongan UTeM semarakkan sektor pelancongan Melaka

Kewujudan Pusat Edu-Pelancongan UTeM semarakkan sektor pelancongan Melaka

DURIAN TUNGGAL 23 Jan. – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM telah menubuhkan Pusat Edu-Pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Melaka.

Penubuhan pusat tersebut sekali gus menjadikan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai sebuah hab edu-pelancongan di negeri bersejarah ini.

Justeru itu, UTeM turut sama main peranan melaksanakan inisiatif itu bagi menyemarakkan industri pelancongan dalam Negeri Melaka menerusi keunikan dimiliki oleh universiti berprestij itu.

Pusat Edu-Pelancongan UTeM yang juga dikenali sebagai UTourism itu dijayakan dengan kerjasama rakan kolaborasi.

Rakan kolaborasi itu membabitkan Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, penubuhan Pusat Edu-Pelancongan tersebut berasaskan kepada kecemerlangan pendidikan dan kesarjanaan yang unggul.

Katanya, ianya dengan mengendalikan program pelancongan yang berkualiti ke arah penjanaan pendapatan serta mempromosikan UTeM secara langsung di dalam dan luar negara.

“Pusat Edu-Pelancongan UTeM turut berobjektif menterjemah hasil penyelidikan UTeM kepada pakej pelancongan yang bersesuaian,” katanya.

Pakej itu katanya, dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum di samping membantu memberi kefahaman dan peluang kepada komuniti.

Selain masyarakat dan pelancong untuk mempelajari pendidikan di UTeM menerusi kaedah pelancongan yang menarik.

“Senario ini secara langsung menzahirkan bahawa UTeM turut memainkan peranan besar dalam menarik lebih ramai bilangan pelancong ke Melaka menerusi universiti ini dan kelebihan yang dimiliki,” katanya.

Ujarnya, antara pengisian menarik ditawarkan di sini adalah aktiviti sukan dalam kampus seperti berkayak di tasik, mengayuh basikal, jungle tracking, flying fox dan pelbagai aktiviti lagi.

Di samping boleh menikmati pengalaman pemanduan kenderaan elektrik dan kayuhan beca elektrik ciptaan penyelidik UTeM di sekitar kampus berkenaan.

Jelasnya, bertemakan “Learning is fun”, para pelancong juga berpeluang menikmati pengalaman menarik mengikuti program-program tambahan lain yang disediakan.

Ianya seperti Kem Arduino Robotik, Kem LEGO Robotik, kursus Asas Pemasangan Solar, pengendalian drone serta banyak lagi aktiviti keusahawanan dan juga pengisian kerohanian lengkap berserta penginapan bermalam di kampus UTeM.

Kesemua ini boleh dinikmati dengan pakej sangat berpatutan di mana sasaran pelancong utama adalah pelajar sekolah, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), komuniti usahawan serta pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kewujudan Pusat Edu-Pelancongan ini dijangka dapat membantu UTeM menjana pendapatan universiti tersebut.

“Sekali gus dapat membantu menampung kos penyelenggaraan infrastruktur di UTeM melalui pelbagai aktiviti-aktiviti keusahawanan pelancongan,” katanya.

by roland

Pic 1 : PERBINCANGAN mengenai matlamat dan fungsi Pusat Edu-Pelancongan semasa dijalankan.

CATEGORIES