KM Melaka minta lebih ramai belia majukan pertanian dan penternakan

KM Melaka minta lebih ramai belia majukan pertanian dan penternakan

Muhammad Iskandar Abdul Rahim (kanan) menerima Geran Agropreneur Muda disampaikan Adly. MK/Din Ahmad

 

KUALA SUNGAI BARU 21 Feb. – Dua usahawan tani menerima sentuhan berkesan apabila projek tanaman cili padi fertigasi mereka diteliti secara dekat oleh Ketua Menteri, Adly Zahari yang memberi semangat untuk mereka mencapai kejayaan.

Muhammad Iskandar Abdul Rahim, 23, dan Shahrul Izwan Abdul Wahab, 32, bertuah apabila kebun seluas kira-kira 0.4 hektar di Kampung Permatang Indah, di sini, dikunjungi Adly semasa lawatan beliau ke beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kuala Linggi semalam.

Dalam kunjungan itu, Adly bukan setakat memberi perangsang, agar mereka mempergiat usaha untuk mencapai kejayaan dalam projek penanaman cili padi dalam 2,200 poli beg, malah menyampaikan geran Agropreneur Muda bernilai RM20,000 kepada mereka.

Geran Jabatan Pertanian itu bertujuan menyediakan peralatan, benih dan baja untuk membolehkan mereka menjayakan projek berkenaan, selepas membuktikan kejayaan dalam projek yang sama di kebun lain di Jalan Benteng, Kampung Ladang, di sini.

Muhammad Iskandar berkata, kunjungan Adly memperkukuh semangatnya untuk membuktikan kepada belia, kejayaan dalam bidang pertanian mampu dicapai jika ada usaha gigih, selain tawakal kepada Allah.

Shahrul Izwan berkata, beliau akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan geran anugerah Jabatan Pertanian itu tidak disia-siakan dan turut berazam memastikan hasil tanamannya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding cili padi di tempat lain.

Sementara itu, ketika ditemui selepas lawatan itu, Adly berkata, kerajaan negeri melalui Amanah Finance House menawarkan mikro kredit kepada usahawan tani dan penternak yang baru menceburi bidang berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai belia
memajukan industri itu.

Katanya, pinjaman minimum RM3,000 hingga maksimum RM20,000 disediakan untuk mereka, berikutan kesukaran untuk bertapak pada awal usaha niaga.

Ia sekali gus menarik belia, terutama di luar bandar untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan tani dan haiwan ternakan.

“Kita sentiasa menggalakkan belia memajukan industri pertanian dan penternakan kerana selain bidang perniagaan menguntungkan, ia juga membantu menjamin bekalan makanan negara.

“Amanah Finance House sedia membantu belia untuk memajukan perniagaan masing-masing hingga mereka mencapai kejayaan,” katanya.

Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman dan Penyelaras DUN Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Sebelum itu Adly meninjau projek penternakan 1,200 itik telur oleh Abdul Razak Jantan, 32, di Kampung Permatang Darat.

Adly berkata, kedua-dua projek berkenaan mempunyai potensi untuk berkembang asalkan mereka mampu menjaga kualiti dan bijak memasarkan produk masing-masing melalui pelbagai landasan, terutama pengiklanan melalui media sosial.

Beliau berkata, bagi usahawan tani dan penternak yang sudah bertapak dan ingin mengembangkan perniagaan, mereka harus memanfaatkan pelbagai skim pinjaman disediakan Agro Bank yang sentiasa bersedia membantu mereka.

“Bank itu memberikan pinjaman maksimum RM300,000 kepada usahawan tani dan penternak yang sudah membuktikan kemampuan untuk bertapak dan bersedia untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

CATEGORIES