Konsul Malaysia Pekanbaru tawar ruang Galeri Melaka

Konsul Malaysia Pekanbaru tawar ruang Galeri Melaka

BANDAR HILIR 21 Feb. – Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhamad Jailani Khamis akan memutuskan lokasi Galeri Melaka yang akan dibuka di Pekanbaru, Riau tidak lama lagi.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Fadhilah Md. Saleh berkata, ini kerana, hasil mesyuarat yang diadakan bersama Konsul Malaysia di Pekanbaru Riau, Wan Nurshima Wan Jusoh telah menawarkan ruang kepada PERZIM untuk membuka Galeri Melaka di Bangunan Konsulat Malaysia yang terdapat di sana.

Jelasnya, pada masa sama pengurusan Muzium Sang Nila Utama & Taman Budaya di Pekanbaru yang diundang pada mesyuarat tersebut turut menawarkan ruang bagi tujuan yang sama.

“Bagaimanapun pihak Perzim meminta Muhammad Jailani untuk mencari kata putus bagi merealisasikan pembukaan Galeri Melaka di sana.

“Mesyuarat tersebut diadakan sempena lawatan kerja Muhammad Jailani ke Pekanbaru bagi meninjau pembangunan dan perkhidmatan yang boleh dibangunkan di Sungai Siak,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat yang diadakan di bilik mesyuarat Konsulat Malaysia Pekanbaru itu dipengerusikan Wan Nurshima yang turut dihadiri Muhammad Jailani; Fadhilah; Kadis Kebudayaan Provinsi Riau, Raja Yoserizal; Pegawai PERZIM, Nurman Mohd Baroldin serta para pegawai Muzium Sang Nila Utama & Taman Budaya Pekanbaru.

CATEGORIES