Koronavirus: AS keluar nasihat perjalanan baharu

Tingkatkan kesiapsiagaan....

Koronavirus: AS keluar nasihat perjalanan baharu

WASHINGTON 31 Jan. – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat perjalanan baharu, yang melarang rakyatnya mengunjungi China berikutan penularan wabak novel koronavirus, lapor agensi berita Anadolu.

Tahap Empat – Larangan perjalanan dibuat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak maut itu sebagai darurat kesihatan global.

“Pengembara perlu bersedia untuk larangan perjalanan dikuatkuasakan sama ada dengan atau tanpa pemberitahuan awal” kata jabatan itu dalam satu kenyataan. “Pengangkutan komersial telah mengurangkan atau menggantung perjalanan keluar dan masuk dari China.”

“Jabatan Negara turut menasihatkan semua kakitangan kerajaan AS untuk menunda semua perjalanan ke China untuk urusan yang tidak penting,” tambah kenyataan itu.

Isnin lalu, jabatan itu meminta rakyat mempertimbangkan semula perjalanan ke seluruh China, meningkatkan amaran perjalanan ke Tahap Tiga.

Wabak tersebut telah mengorbankan 170 nyawa di China, dianggarkan 8,000 kes dilaporkan setakat ini, sebanyak 98 kes disahkan di 18 negara di luar China.

Novel koronavirus (2019-nCoV), yang mula dikesan di bandar raya Wuhan dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan terutama kelawar.

Virus ini mencetuskan kebimbangan dunia selepas kes penyakit berkenaan dilaporkan di seluruh Asia, Eropah, AS dan Kanada.

Pelancong dari China disaring bagi mengesan penyakit itu di lapangan terbang seluruh dunia.

Beberapa penerbangan sudah pun menggantung penerbangan ke Wuhan. – BERNAMA

CATEGORIES