KPDNHEP kesan peniaga jual topeng muka, cecair pembasmi kuman mahal

KPDNHEP kesan peniaga jual topeng muka, cecair pembasmi kuman mahal

KRUBONG 11 Feb. -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Melaka berjaya mengesan tiga premis perniagaan yang menjual topeng muka dan cecair pembasmi kuman dengan harga tidak munasabah di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan pemilik tiga premis berkenaan iaitu stesen minyak, farmasi dan kedai runcit di sekitar Melaka Tengah berjaya dikesan berikutan aduan yang dibuat oleh orang awam.

Beliau berkata tindakan boleh diambil terhadap pemilik premis berkenaan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 kerana menjual topeng muka pada harga melebihi harga kawalan yang dibenarkan.

“Sebarang pelanggaran peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan individu didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50,000.

“Peniaga berkenaan telah menjual topeng muka pada harga RM1 seunit manakala harga bagi seunit cecair pembasmi kuman sekitar RM3 telah dinaikkan sehingga belasan ringgit seunit,” katanya pada sidang media Program Pelupusan Barangan Rampasan KPDNHEP di Stor KPDNHEP, di sini semalam.

Dalam pada itu, Norena memberi jaminan bahawa bekalan topeng muka di negeri ini masih mencukupi.

Jelasnya, pihaknya dimaklumkan bahawa syarikat pengeluar bekalan itu telah menggandakan pengeluaran produk terbabit dan dijangka bakal dihantar ke negeri ini menjelang minggu hadapan.

“Kita jamin produk terbabit akan tiba di negeri ini dalam tempoh seminggu bagi mengelakkan kekurangan bekalan itu berlaku di negeri ini.

“Pada masa sama, KPDNHEP menegaskan kepada peniaga di negeri ini agar tidak sesuka hati menaikkan harga barangan berkenaan yang sekali gus akan menjejaskan pengguna,” katanya.

CATEGORIES