KPI : Fokus utama penambahbaikan penjawat awam – Adly

AYER KEROH 8 Feb. – Kerajaan negeri memberi fokus utama kepada Indeks Prestasi Utama (KPI) yang digariskan kepada semua peringkat kakitangan termasuk agensi kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, fokus yang diberikan ialah melihat semula sistem sedia ada di pentadbiran kerajaan bagi melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Ujarnya, keutamaan yang diberikan perhatian ialah melihat kembali KPI yang telah digariskan.
“Ini kerana setiap tahun semua penjawat awam punyai KPI masing-masing di semua peringkat termasuk kakitangan agensi kerajaan negeri.
“Bagi mereka yang telah punyai KPI, mereka harus melihat kembali tentang bagaimana mereka harus menyusun untuk mencapai KPI itu yang disasarkan dalam tempoh setahun ini.
“Sekiranya suatu peringkat itu tidak melaksanakan KPI yang telah
direncanakan, ia akan memberi kesan kepada seluruh sistem masyarakat dan sebahagian masyarakat akan tertinggal
hubungan mereka dengan kerajaan di semua peringkat,” katanya.
Adly berkata demikian kepada selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, hari ini.
Beliau yakin, sekiranya semua peringkat akar umbi penjawat awam sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi bekerja sebagai satu pasukan, ini merupakan suatu perkara cukup baik untuk kejayaan
negeri.
“Paling dibimbangi, jika terdapat struktur-struktur yang mana KPInya harus ditambah baik dan sebagainya, ini antara yang kita berikan peringatan.
“Antara yang diberikan perhatian adalah berkaitan pembangunan dan kutipan cukai dan saya minta agar penjawat awam dapat memberikan keutamaan kepada pembangunan negeri.
“Bila kutipan hasil dapat ditingkatkan, pembangunan dapat kita jayakan, berilah perkhidmatan terbaik, projek-projek pembangunan yang telah dirancang harus dipercepatkan prosesnya agar ianya dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dataran
Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta para penjawat awam.
Dalam perkambangan lain, Adly merakamkan jutaan terima kasih kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim yang telah menamatkan tugasnya dengan cemerlang,
baru-baru ini.
“Dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru ini, beliau telah memberikan sumbangan besar kepada negeri sepanjang perkhidmatannya sebagai penjawat awam.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga mengalu-alukan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Hasim Hasan dan yakin, pengalaman beliau di pelbagai peringkat penjawatan awam yang pernah beliau sandang dapat membantu kerajaan negeri membentuk satu pasukan untuk membangunkan Negeri Melaka.