Kronologi inisiatif Kerajaan Negeri Melaka di bawah Pakatan Harapan sepanjang 2019
Sorotan antara inisiatif dilaksanakan sepanjang 2019. Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih

TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dan kita akan memasuki era tahun 2020. Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) berterusan melaksanakan segala inisiatif terbaik buat rakyat menerusi pelbagai pelaksanaan serta inisiatif yang memberikan faedah buat semua amnya.
Malah Ketua Menteri, Adly Zahari menitikberatkan soal kebajikan rakyat yang dilihat lebih diutamakan, dan tidak lupa juga kepada pembangunan negeri yang terus lestari sejajar dengan slogan ‘Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih’.
MelakaKini menyenaraikan antara beberapa inisiatif penting yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sepanjang tahun 2019.
18 November 2019 – Hutang awam Kerajaan Negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas. Jumlah hutang awam kerajaan negeri Melaka pada tahun lepas menurun RM3.6 juta atau 0.4 peratus kepada RM839.69 juta, berbanding RM843.29 juta pada 2017, kata Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. Beliau, menerusi kenyataan tentang Laporan Ketua Audit Negara, berkata menurut laporan itu pengauditan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Melaka 2018 mendapati tunggakan bayaran balik hutang awam meningkat RM56.69 juta kepada RM516.67 juta tahun lepas berbanding RM459.95 juta pada 2017.
8 November 2019 – Aplikasi Respon Rakyat permudah rakyat salurkan aduan. Aplikasi Respons Rakyat (RR) akan menjadi pemangkin kepada tindak balas kerajaan negeri untuk menyelesaikan segala aduan yang direkodkan dengan lebih pantas. Medium aduan rasmi kepada kerajaan negeri itu juga diwujudkan agar rakyat dapat berhubung terus kepada kerajaan terhadap sesuatu isu.
25 Oktober 2019 – Pinjaman perumahan khas untuk anak Melaka. Kerajaan Negeri Melaka akan membuka skim pinjaman perumahan di bawah dana hartanah bumiputera kepada rakyat negeri ini yang layak bermula 1 November 2019. Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pinjaman untuk perumahan pertama itu bukan sahaja untuk anak negeri ini yang berumur antara 21 hingga 60 tahun, bahkan ia juga akan dibuka kepada mereka yang telah bermastautin lebih lima tahun di negeri ini.
23 Oktober 2019 – Penerbangan Antarabangsa Melaka-Jakarta-China dijangka beroperasi awal tahun 2020. Laluan penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke Jakarta, Indonesia dan China bakal beroperasi awal tahun hadapan. Ketua Menteri, Adly Zahari menjelaskan kerajaan Indonesia telah bersetuju dengan perancangan terbabit sekali gus memberi manfaat besar di antara Melaka-Indonesia.
15 Oktober 2019 – Melaka, NS muktamadkan hak persempadanan maritim. Melaka memuktamadkan hak persempadanan maritim dengan Negeri Sembilan sejauh tujuh kilometer dari muara Sungai Linggi ke had perairan wilayah negeri.
3 Oktober 2019 – Melaka tandatangani perjanjian pembangunan bercampur bernilai RM1 bilion. Ketua Menteri, Adly Zahari menandatangani perjanjian pembangunan dan pembinaan resort banglo, villa air, hotel, taman tema air, dan tempat perayaan melibatkan kawasan konsesi 100 ekar di daerah Melaka Tengah antara Syarikat Bitara Niaga Development Sdn. Bhd bernilai RM1 bilion di Seri Negeri, pada 3 Oktober lepas. Kerja-kerja pembangunan akan dijalan dalam tempoh enam bulan selepas proses dokumentasi berkaitan selesai dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun.
1 Oktober 2019 – Kerajaan negeri lulus RM1.7 juta untuk bantuan susu pesakit terlantar. Kerajaan Negeri Melaka telah meluluskan peruntukan RM1.7 juta untuk bantuan kepada pesakit terlantar yang perlu bergantung kepada susu sebagai pemakanan utama. Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata seramai 361 penerima bakal menerima manfaat daripada inisiatif tersebut berdasarkan data-data yang sedia ada.
18 September 2019 – Melaka terima RM1.7 juta laksana projek fertigasi pintar. Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.7 juta kepada Melaka bagi pelaksanaan projek fertigasi pintar di negeri ini. Dengan hanya menggunakan telefon pintar, projek fertigasi pintar berasaskan Internet of Things (IoT) itu akan membolehkan petani memantau bacaan suhu, kelembapan udara dan tanah bagi tanaman mereka serta kawasan fertigasi.
1 September 2019 – Kota Tun Fatimah mula beroperasi. Kota Tun Fatimah (dahulunya dikenali sebagai Kota Fesyen) kini secara rasminya beroperasi selepas dirasmikan Ketua Menteri Adly Zahari, pada 1 September (Ahad) lepas. Kawasan berkenaan yang dibangunkan lebih 10 tahun lalu dengan kos RM52 juta dan berkeluasan 4.16 hektar akan menjadi lokasi para usahawan menjalankan perniagaan.
26 Ogos 2019 – RM1.4 juta untuk lampin pakai buang dewasa. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.4 juta bagi Skim Lampin Pakai Buang Dewasa di negeri ini tahun ini. Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya menyasarkan seramai 2,240 penerima dengan fasa pertama seramai 1,308 penerima telah mendapat manfaat tersebut.
14 Ogos 2019 – Miliki geran tanah dalam tempoh 1 jam. Rakyat Melaka boleh mendapatkan geran pemilikan tanah dalam tempoh satu jam di setiap pejabat tanah di negeri ini. Inisiatif itu telah dilaksanakan sejak awal Jun 2019 melalui portal e-Tanah yang diwujudkan.
10 Ogos 2019 – Hab e-sukan pertama negara mula beroperasi. Melaka menjadi peneraju hab e-sukan pertama negara selepas perasmian Ancient Galaxy E-Sport Hub di Kota Syahbandar dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, badan bukan kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee pada 10 Ogos 2019. Hub berkenaan yang dilengkapi peralatan komputer serba canggih dan teknologi dunia realiti maya (VR) turut akan menjadi lokasi pemilihan akhir atlet e-sukan Melaka ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.
31 Julai 2019 – Melaka negeri pertama guna sistem undian pilih ahli MPKKB . Melaka dijangka muncul sebagai negeri pertama menggunakan kaedah memilih ahli Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) Machap Umboo menerusi sistem undian. Sistem baharu itu yang akan dilaksanakan di Machap Umboo, bakal menjadikan Melaka sebagai negeri perintis kepada sistem berkenaan yang dijangka bermula tahun ini (2019).
25 Julai 2019 – 23 unit Rumah Peduli Fasa ke-2 lulus . 23 unit Rumah Peduli fasa kedua telah diluluskan merangkumi empat pemohon bagi daerah Melaka Tengah, tiga bagi daerah Alor Gajah dan 16 bagi daerah Jasin.
23 Julai 2019 – Kerajaan negeri ambil alih UTC . Kerajaan Negeri Melaka menerusi Tabung Amanah Melaka mengambil alih pengurusan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka daripada Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bermula 1 Ogos 2019.
15 Julai 2019 – Melaka terima RM3 juta peruntukan tambahan bina 84 unit Rumah Peduli. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menambah peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi pembinaan rumah peduli sebanyak RM6 juta.
1 Julai 2019 – AirAsia : Laluan baharu ke Pulau Pinang kini dibuka. Lapangan Terbangan Antarabangsa Melaka (LTAM) sekali lagi menjadi saksi kepada 174 penumpang dari Pulau Pinang yang menjadi perasmi kepada pembukaan laluan baharu ke negeri ini.
27 Jun 2019 – Melaka bakal bina Resort Harapan untuk warga emas. Kerajaan negeri bakal mewujudkan pusat penjagaan warga emas atau Resort Harapan dalam usaha membantu menampung keperluan warga emas terpinggir di negeri ini. Inisiatif tersebut bakal dilaksanakan selepas kerajaan negeri menganggarkan Melaka akan menjadi ‘ageing state’ dengan penambahan bilangan warga emas mencecah 15 peratus menjelang 2023.
17 Jun 2019 – Melaka tersenarai sebagai lokasi projek Universiti Wakaf. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyenaraikan Melaka sebagai antara negeri pelaksanaan projek Universiti Wakaf. Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, baru-baru ini. Pembangunan universiti wakaf dilihat sebagai pemangkin kepada golongan asnaf untuk keluar daripada garis kemiskinan.
14 Jun 2019 – Luaskan mesej ‘Ini Rumah Kita’. Kerajaan negeri komited meluaskan kesedaran masyarakat mengenai kebersihan menerusi jenama ‘Ini Rumah Kita’ sejak dilancarkan Aidilfitri lalu.Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, secara asas orang Melaka sentiasa dikenali dengan persekitaran dan suasana rumah yang bersih dan dijaga baik. Menurutnya, ia satu sikap terpuji yang mana harus disebarkan mesejnya.
28 Mei 2019 – RM143 juta hutang dihapuskan, Melaka bina saluran air baru. Kerajaan Negeri Melaka akan menjalankan projek pembinaan penyaluran air dari Tasek Biru, Chinchin ke Empangan Durian Tunggal yang dianggarkan bernilai RM23 juta bagi mengatasi masalah bekalan air yang sering berlaku secara tahunan di negeri ini. Ketua Menteri, Adly Zahari berkata tindakan itu susulan langkah Kerajaan Persekutuan menghapuskan pinjaman projek bekalan air luar bandar. Katanya, keputusan daripada Putrajaya itu dengan menghapuskan hutang Melaka sebanyak RM143 juta secara tidak langsung mampu meningkatkan lebih banyak projek pembangunan di Melaka termasuk mengurangkan hutang bagi pembinaan infrastruktur air di negeri ini.
9 Mei 2019 – Potongan sewa 50% buat peniaga di bulan Ramadan. Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata inisiatif itu diberikan kepada peniaga di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia bertujuan meringankan beban kos sewaan selepas peniaga terbabit tidak dapat berniaga pada waktu siang.
4 Mei 2019 – 6 bulan sewa percuma untuk usahawan wanita. Pelbagai inisiatif diberikan kepada golongan usahawan wanita di Melaka bagi memperkasakan pembangunan sektor terbabit. Ia termasuk menjenamakan semula kawasan perniagaan Kota Fesyen di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
3 Mei 2019 – Rumah Peduli pertama dibina. Berita baik buat rakyat Melaka apabila Ketua Menteri, Adly Zahari mengumumkan Rumah Peduli pertama kini dalam proses pembinaan.
25 April 2019 – Kapal kontena pertama belayar selepas 45 tahun. Sambil disaksikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Syarikat Xinyi Energy Smart (M) Sdn. Bhd. melakukan pelayaran pertamanya di negeri ini selepas 45 tahun terbinanya Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas. Pelayaran itu merupakan kapal kontena pertama berlabuh di Melaka bagi memasarkan produk syarikat terbabit ke Humen, China.
24 April 2019 – Hospital wanita, kanak-kanak akan dibina di Melaka. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan Melaka akan mempunyai sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (WCH) yang bernilai RM500 juta.
21 April 2019 – ‘Belon Udara Panas’ bakal terbang di Melaka. Perkhidmatan Belon Udara Panas bakal menjadi tarikan baru apabila sebuah syarikat berhasrat mengadakan perkhidmatan itu di Melaka tidak lama lagi. Ia akan menjadi pengalaman baru bagi pelancong untuk menikmati pemandangan negeri Melaka dari udara.
21 April 2019 – Melaka bakal capai pelaburan Halal Global RM3 bilion. Kerajaan Negeri Melaka mencatat sejarah apabila menandatangani perjanjian pemegang saham dalam industri Halal Global, Pelancongan Islam dan dakwah di daerah XunDian, Yunnan, China, baru-baru ini. Ia akan menjadi pemangkin kepada penubuhan sebuah syarikat usahasama syarikat tujuan khas (SPV) bagi menjalankan urusan perniagaan di antara dua negara.
15 April 2019 – Melaka cadang sedia susu formula buat warga emas. Kerajaan negeri akan menyediakan makanan tambahan seperti susu formula untuk warga emas di negeri ini. Ia antara makanan tambahan utama yang diperlukan buat golongan uzur.
14 April 2019 – Projek naik taraf Sungai Melaka capai 80 peratus. Kerja-kerja naik taraf itu melibatkan pemasangan pelbagai lampu hiasan sepanjang laluan bot Melaka River Cruise (MRC), sekali gus menarik tumpuan pelancong.
11 April 2019 – Melaka bina 60 unit rumah nelayan. Nelayan di kawasan Kuala Sungai Baru berpeluang miliki rumah berharga RM45,000 seunit.
8 April 2019 – RM15 juta setahun peruntukan Dermasiswa TAPEM bantu pengajian luar negara. Peruntukan akan disalurkan melalui pembiayaan pinjaman pendidikan dan Dermasiswa Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM). Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian pelbagai bidang ke luar negara khususnya pengajian di negara Timur Tengah.
22 Mac 2019 – Melaka peroleh nilai pelaburan RM3.252 bilion. Daripada jumlah itu, RM2.47 bilion merupakan pelaburan tempatan sementara pelaburan asing sebanyak RM773.1 juta.
19 Mac 2019 – Penerbangan Air Asia Melaka – PP mula Julai depan. Penerbangan pertama syarikat itu ke Pulau Pinang menjadikan AirAsia syarikat terbaharu yang akan beroperasi di LTAM selepas Malindo Air yang kini beroperasi di empat laluan iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bharu dan Pekanbaru, Indonesia.
14 Mac 2019 – Pelancong ke Melaka meningkat 17.02 juta – Adly. Melaka mencatat peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 1.34 peratus iaitu seramai 17.02 juta pada tahun lalu berbanding 16.79 juta pada 2017. Dari jumlah tersebut pelancong domestik kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu seramai 11.33 juta iaitu 66.59 peratus berbanding pelancong asing 5.68 juta (33.41 peratus).
4 Mac 2019 – Dua persimpangan jimat masa 20 minit. Rakyat di negeri ini dapat menjimatkan masa perjalanan 20 minit melalui Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka di dua Persimpangan Peringgit dan MITC. Penjimatan masa itu adalah 10 minit bagi setiap persimpangan dari Ayer Keroh menuju ke Bandar Melaka.
21 Februari 2019 – 60 unit Rumah Peduli percuma. Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 60 unit Rumah Peduli diberikan secara percuma kepada rakyat yang memerlukan bagi 2019 di negeri ini.
8 Februari 2019 – Rumah Belia : Melaka negeri pertama laksana – Adly. Pembinaan dijangka bermula tahun ini melalui dua fasa melibatkan 524 unit rumah.
8 Februari 2019 – 30 unit Rumah Berkat untuk pasangan baru kahwin. Kerajaan negeri memperkenal 30 unit rumah di Pangsapuri Kampung Padang sebagai rumah transit atau Rumah Berkat bagi membantu pasangan suami isteri yang baru berkahwin di negeri ini.
6 Februari 2019 – Malindo Air buka laluan baharu ke Langkawi & Kota Bharu. Syarikat penerbangan Malindo Air mengumumkan dua laluan baharu ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Melaka (LTAM) iaitu dari Kota Bharu, Kelantan dan Langkawi, Kedah ke Melaka. Laluan terbabit yang bermula pada 1 Mac 2019 akan beroperasi tiga kali seminggu pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad.
30 Januari 2019 – Kerajaan negeri tawar 30 % kuota : Sasar usahawan baharu dan muda. Penetapan kuota ini merupakan peluang terbaik bagi membantu golongan tersebut mendapat tempat dan peluang di peringkat kerajaan.
1 Januari 2019 – TMM 2019 misi utama promosi Melaka ke persada antarabangsa. TMM 2019 yang dilancarkan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bertujuan merealisasi sasaran 20 juta pelancong, sekali gus menyokong pelaksanaan TMM 2020.